KOLUM | Taufan Al-Aqsa berlaku tiga tahun lalu - 7 Okt 2023. Israel membalas. Gaza diserang oleh soldadu Israel dari darat dan dari udara. Warga Gaza dibantai.

Pada 10 Oktober 2025 Perjanjian Gencatan yang diatur oleh Presiden Donald Trump ditandatangani.

Hingga ke hari ini, walaupun gencatan senjata ditandatangani, kematian dan kemusnahan warga Palestin tetap bertambah. Serangan Zionis tidak berhenti.

Laporan Kementerian Kesihatan Palestin menunjukkan seramai 74,480 warga Palestin tua muda dan kanak-kanak terkorban. Seramai 175,539 cedera dan memerlukan rawatan hospital.

Juga antara 8,000 ke 10m000 orang dilapor hilang terkambus dalam runtuhan bangunan.

Angka korban dan cedera hingga ke hari ini belum ada noktahnya.

Serangan oleh Hamas pada 7 Okt 2023 mengorbankan kira-kira 1,200 orang di Israel. Ia termasuk antara 1,139 hingga 1,195 orang semasa serangan awal pada hari pertama. Termasuk juga 971 soldadu Israel.

Sebagai balasan terhadap Taufan al-Aqsa, Zionis Israel melancarkan genosid – pembunuhan beramai-ramai ke atas warga Palestin. Projek Genosid Gaza itu membuka satu perubahan baru. Perubahan itu belum pernah berlaku sebelum ini.

Semenjak Israel di wujudkan di Palestin pada 1948 telah dijaja cerita kononnya merea bangsa tanpa negara dan negara tanpa bangsa. Bumi dan tanah Palestin dihebohkah sebagai kawasan kosong.

Cerita dongeng itu diterima pakai untuk menghalalkan penjajahan ke atas bumi Palestin yang didongengkan tidak berpenduduk.

Kisah dongeng kaum Zionis itu sedikit demi sedikit disangkal. Tetapi semenjak 7 Okt 2023 dongeng tersebut terbarai. Manifestasi terbarainya dongeng Zionis itu paling menonjol berlaku di AS.

Apabila projek Genosid Gaza bermula, imej kematian, pembunuhan dan rumah tempat tinggal meledak runtuh mula tersebar di media sosial. Internet memainkan peranan baru.

Cubaan masuk Rumah Putih kali kedua

Imej dan gambaran itu mempengaruhi sensitiviti rasa kemanusiaan anak muda, siswa dan pelajar dari universiti elit AS. Mereka mula menyedari apa itu genosid, justeru mereka bersuara dan mula membantah.

Pelajar dari Yale, Havard atau Colombia mengadakan tunjuk perasaan tanda bersimpati dan menyokong rakyat Palestin. Anak muda AS mula bersuara mengutuk apa yang dilakukan oleh Israel ke atas Gaza.

Trump dengan segala kuasa yang ada padanya cepat dan pantas mematahkan gerakan pelajar tersebut. Ia dibantu oleh media arus perdana AS yang di miliki oleh Zionis.

Pemimpin dan aktivis pelajar yang menyusun demo pro-Palestin dibuang dari universiti. Pelajar dari luar negara dilupuskan visa pelajar dan dihantar pulang.

Pada Mac 2025, pelajar pascasiswazah dari Colombia Universiti berasal dari Palestin, Mahmud Khalil, ditangkap. Isterinya warga AS. Kes Khalil yang mahu dihantar pulang menjadi isu besar di AS.

Pada masa yang sama Presiden Universiti Havard, Claudine Gay, meletakkan jawatan kerana mendapat tekanan dari universiti apabila dia dituduh sebagai antisemitik.

Projek genosid Benjamin Netanyahu kini menjadi perbualan nasional bukan hanya di AS malah di seluruh dunia. Seperti biasa media Zionis dan pro-Israel terus menjual cerita dongeng tentang Hamas.

Dilaporkan bagaimana pada pagi Sabtu 7 Okt itu gerila Hamas kononnya merogol dan membunuh wanita Israel. Dilaporkan juga bagaimana kanak-kanak ditangkap dan ditembak mati malah ada yang dibakar.

Benjamin Netanyahu.

Trump cuba memasuki Rumah Putih untuk kali kedua. Ketika berkempen Trump melaungkan nada semangat nasionalis Amerika. Trump berkempen untuk menjadikan AS gagah kembali. Gerakan MAGA - Make America Great Again – disusun di seluruh negara.

Anak-anak muda berkulit putih terpukau dengan slogan MAGA. Janji dan retorik dijaja Trump ketika berkempen menjerut hati dan perasaan warga AS berkulit putih dari golongan kelas pekerja.

Mereka selama ini merasakan terpingging, justeru Trump dilihat - dan kemudian dinobat - sebagai penyelamat.

Dari suasana itulah muncul anak muda bernama Charles Kirk . Anak muda berumur 32 tahun itu seorang aktivis politik berhaluan kanan. Dia juga seorang usahawan dan tokoh media.

Kirk bersama pelajar dan anak muda menubuhkan organisasi pelajar konservatif yang dipanggil Turning Point USA (TPUSA) pada 2012.

Kirk menjadi salah seorang yang paling menonjol dalam gerakan MAGA. Dia menjadi sekutu Trump yang rapat, malah berkempen hebat untuk memenangkan Trump buat kali kedua.

Sosok muda dari Parti Republikan itu pernah dianggap dan dibaca sebagai bakal presiden masa depan untuk AS. Begitu hebat penampilan Kirk dan pengaruhnya berkembang luas melalui siaran radio The Charlie Kirk Show

Tertiba pada 10 Sept 2025 - dalam satu ceramah rapat umum di Utah Valley University - Kirk ditembak mati di hadapan ribuan pendengar.

AS terkejut. Siapa penembak Charles Kirk? Kenapa Charles Kirk dibunuh?

Pada 21 Sept 2025 – semasa hari pengebumiannnya – lebih 100,000 orang hadir untuk memberi penghormatan terakhir. Majoriti yang hadir ialah anak muda dan penyokong MAGA.

Sama seperti pembunuhan John F Kennedy pada 22 Nov 1963, pembunuhan Kirk juga menimbulkan banyak teori.

Si penembak yang ditangkap polis dikatakan marah kepada Kirk kerana dia tidak bersimpati dengan golongan LGBT.

Tanda tanya pembunuh JFK

Berita paling hangat mula tersebar bagaimana Kirk dikatakan tidak lagi menyokong Zionis Israel kerana apa yang dilihat berlaku di Gaza. TPUSA dikatakan pada awalnya ada menerima dana dari Yahudi kaya di AS namun kemudian mula mengkritik Israel.

Kini TPUSA menolak untuk mengadakan apa-apa hubungan dengan kumpulan Zionis di AS. Malah ada juga dilaporkan bagaimana Kirk menolak jemputan Netanyahu untuk melawat Israel.

Tanpa dijemput tanpa diminta Netanyahu pula bersuara menafikan pembunuhan Kirk ada kaitan dengan Israel. Penafian itu menyemarakkan lagi teori bahawa Kirk dibunuh kerana sosok itu tidak lagi menyokong Zionis Israel.

Kirk sama seperti Tucker Carlson – personaliti media arus kanan – yang menolak dan mengkritik Zionis Israel. Dua sosok itu berpendapat Presiden Trump ditipu atau diperangkap oleh Netanyahu untuk berperang dengan Iran.

TPUSA amat berpengaruh dalam kalangan anak muda berkulit putih. Kirk terus diingat sebagai sosok yang akan menjadi calon presiden masa depan Republikan.

Bayangkan jika di AS ada bakal presiden yang tidak lagi bersimpati terhadap wujudiah Israel.

Pembunuhan Kirk mengundang banyak teori seperti pembunuhan JFK.

John F Kennedy menjelang pembunuhannya yang menggemparkan dunia.

Pada 1963, Presiden John F Kennedy memberikan tekanan yang kuat terhadap Israel. JFK mahu AS memeriksa rapi Pusat Penyelidikan Nuklear Israel. Dia memberi amaran kepada pemimpin Israel bahawa sokongan Washington boleh "terjejas dengan serius" jika permintaan tersebut ditolak.

Apakah JFK 'dijimatkan' kerana berani mengkritik Israel? Hingga ke hari ini masih belum ditemui secara tuntas siapa di belakang pembunuhan JFK.

Teori JFK dan Kirk hampir sama. Apakah Kirk ditembak mati oleh Tyler Robinson yang baru berumur 23 tahun kerana Kirk mula mengkritik Israel?

Yang memperkuatkan teori itu ialah, ketika Kirk ditembak tidak jauh dari pentas ceramah, ada seorang mamat yang menjerit: Aku yang menembak!

Menurut pihak berkuasa, George Zinn, 71, yang ditahan sejurus selepas pembunuhan Kirk membuat pengakuan palsu menjerit untuk menarik perhatian polis sekali gus membantu suspek melarikan diri.

Zinn kemudian dibebaskan dan dianggap "orang tua sasau".

Untuk menangkis tuduhan orang ramai Zinn didakwa menyimpan gambar lucah kanak-kanak. Itu menjadikan kenyataan polis tidak diyakini ramai.

Robinson tidak mengaku salah. Kes masih lagi dalam perbicaraan.

Apa yang jelas di sini ialah berlaku satu anjakan politik di AS. Generasi muda AS semakan ramai tidak lagi memberi sokongan membuta tulis terhadap Israel.

Malah sosok seperti Kirk dan Carlson yang berfahaman kanan mengkritik dan mengutuk para politikus AS yang bersimpati terhadap Zionis Israel sebagai Israel First.

Anjakan politik terhadap wujudiah Israel juga sedang melanda Eropah.

Negara mana di Eropah sedang berubah dasar terhadap wujudiah Isreal? Tunggu minggu hadapan. Amin.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.