KOLUM | Minggu ini atau bulan ini atau lebih tepat lagi sepanjang satu dekad lalu, nama Malaysia telah berjaya dihebohkan oleh Datuk Seri Najib Razak. Malah lebih tepat lagi sosok yang bernama Najib ini telah berjaya menghebohkan nama Malaysia ke seluruh dunia.

Pertama dulu minah cun Altantuya Shaariibuu model penterjemah dari Mongolia telah mati dibunuh oleh dua pegawai polis Malaysia – Azilah dan Sirul.

Dalam akuan bersumpah bertarikh 17 Oktober 2019, bekas Ketua Inspektor Azilah Hadri mendakwa Altantuya dibunuh atas arahan Najib. Akuan ini didedahkan pada 16 Disember 2019. Najib menafikan dakwaan itu sebagai cerita rekaan.

Mengikut Akuan Bersumpah Azilah kerja 'menjimatkan' Altantuya telah dilakukan bersama Sirul Azhar Umar. Mayat minah cun ini telah diledakkan dengan bahan letupan di dalam hutan Puncak Alam di pinggir Shah Alam.

Azilah dan Sirul dijatuhi hukum mati. Sirul sempat melarikan diri ke Australia. Hukum mati Azilah telah diganti dengan hukuman 40 tahun penjara dan 12 sebatan.

Hari ini, bekas ketua inspektor polis Azilah masih menjalani hukuman penjara. Bernama pada 10 Oktober 2024 melaporkan dia ditahan di Penjara Sungai Buloh.

Tidak cukup dengan dakwaan Azilah dalam kes pembunuhan Altantuya Si Najib ini terlibat juga dengan kes 1MDB. Ini kes pencurian moden yang klasik. Kes 1MDB ini telah menonjolkan dan menyemarakkan nama Malaysia ke seluruh dunia. DOJ pernah menyifatkan tindakan pelucuthakan aset berkaitan kes 1MDB sebagai tindakan terbesar di bawah inisiatif pemulihan aset kleptokrasinya.

Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggap secara meluas oleh pihak berkuasa antarabangsa—termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ)—sebagai salah satu kes penyelewengan kewangan, pengubahan wang haram, dan kleptokrasi terbesar dalam sejarah dunia.

Najib sudahpun keluar dari Penjara Kajang kerana Kes SRC International untuk menjalani baki penahanannya di rumah. Ini kes rasuah dan penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd - bekas anak syarikat 1MDB yang dipindah milik kepada Menteri Kewangan Diperbadankan pada 2012. Kes SRC ini Najib pada asalnya dikenakan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta. Pada Januari 2024 hukuman penjara dikurangkan kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta. Khalas.

Sementara itu dalam kes 1MDB Najib telah dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun dan denda berjumlah RM11.38 bilion oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 Disember 2025.

Kes 1MDB ini Najib telah merayu di Mahkamah Rayuan.

Najib memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.27 bilion.

Titam adendum

Pada 14 Oktober 2026 Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman 1MDB sementara menunggu rayuan. Rayuan terhadap sabitan dan hukuman masih di Mahkamah Rayuan. Hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib bermula selepas beliau selesai menjalani hukuman penjara dalam kes SRC International.

Sebelum pengampunan bersyarat pada September 2026, Najib memohon untuk menjalani baki hukuman kes SRC di rumah berdasarkan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024. Ini titah adendum daripada Agong yang terdahulu - Sultan Pahang. Permohonan untuk melaksanakannya ditolak Mahkamah Tinggi pada 22 Disember 2025 dan Najib kemudian menarik balik rayuannya.

Jangan lupa warga Malaysia berkenalan dengan perkataan Latin Adendum. Perkataan ini jadi perbualan nasional yang heboh bersangkutan dengan titah adendum untuk Najib menjalani baki hukuman kes SRC di rumah. Titah adendum 2024 ini berbeza daripada pengampunan bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim pada 18 September 2026.

Pada 20 September 2026, media tempatan melaporkan pada Jumaat 18 September 2026, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bersidang di Istana Negara.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim - Sultan Johor - yang mempengerusikan mesyuarat, memperkenankan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat ditetapkan.

Laporan ini amat jelas. Terang macam tengah hari musim panas bulan Jun.

Najib perlu bayar denda RM50 juta dan mematuhi syarat pengampunan untuk berpindah dari Penjara Kajang ke tahanan rumah. Baki hukuman penjaranya tetap perlu dijalani.

Sila jangan kelam kabutkan dengan soalan remeh seperti: Bilik tahanan rumah macam mana? Siapa boleh lawat? Makanan dari mana? Dan... dan... dan.... 'kazak.. kazak.. kazak'... Semua ini akan mengusutkan keadaan.

Apa berlaku pada Najib minggu ini tidak adil

Arahan Agong cukup jelas. Najib jalani tahanan Kes SRC selebihnya di rumah.

Apa yang ingin kita cari dan guna pakai ialah keadilan. Sistem keadilan hukum-hakam yang wujud dalam Perlembagaan Negara.

Jangan lupa Malaysia bukan Brunei, bukan Saudi Arabia - Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Raja Berperlembagaan. Amin.

Saya nyatakan sosok bernama Najib Razak ini bukan kawan saya. Saya bukan penyokong Najib Razak.

Saya juga tahu apa yang telah Najib lakukan. Saya tidak menaruh simpati kepada orang jahat. Untuk saya Najib ini orang jahat. Orang jahat ini telah didapati bersalah. Maka saya akur terhadap apa hukuman daripada mahkamah terhadap Najib.

Dalam masa yang sama juga saya mempersoalkan apa yang sedang berlaku hari ini. Jelas kelihatan kekalutan dan ketidaktentuan sedang berlaku dalam kes penahanan Najib di rumah.

Kelam kabut ini berlaku setelah Najib berjaya membayar denda RM50 juta. AGC menjelaskan kelewatan itu melibatkan keperluan memperbetulkan perintah pelepasan 6 November, termasuk implikasinya terhadap permulaan hukuman kes 1MDB. Saya anggap ini tidak memberi keadilan terhadap Najib Razak.

Saya pernah didakwa di bawah Akta Hasutan. Hukum penjara sembilan bulan. Saya merayu di Mahkamah Rayuan. Pada 16 Mei 2016 Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman penjara dan mengekalkan denda RM5,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen sebelum itu. Denda itu telah saya bayar. Ini keadilan. Dalam kes Najib, baki hukuman penjara masih perlu dijalani walaupun denda dibayar.

Pada hemat saya apa yang berlaku pada Najib minggu ini tidak adil.

Jangan salah anggap saya bukan jadi penyokong Najib. Saya mahu menegak keadilan untuk sesiapa saja yang saya baca tidak mendapat keadilan.

Saya juga bukan monarkis. Saya republikan. Tapi saya akui kuasa Raja Berperlembagaan yang tercatat dalam Perlembagaan Malaysia.

Daripada apa yang saya fahami dari segi hukum dan perlembagaan Raja dan Sultan dalam negara kita ini akan membuat sesuatu yang penting dengan mendengar nasihat Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.

Perkara 40(2) Perlembagaan memperuntukkan budi bicara Agong dalam beberapa perkara. Pertama: Melantik Perdana Menteri. Kedua: Menolak permintaan untuk membubarkan Parlimen. Ketiga: Meminta Majlis Raja-Raja bermesyuarat khusus mengenai keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja, serta bertindak dalam mesyuarat itu. Perlembagaan juga menyebut keadaan lain yang membolehkan Agong bertindak menurut budi bicaranya.

Justeru tahanan di rumah Najib ini didakwa dibuat atas nasihat Kerajaan Madani.

Wajib diberitahu bukan Najib bin Razak dan Anwar bin Ibrahim sahaja yang ada kes minta ampun daripada Lembaga Pengampunan. Di setiap negeri di Malaysia ini ada warga terutama pesalah kes bunuh yang minta pengampunan daripada Raja, Sultan atau Tuan Gabenor.

Raja, Sultan dan Tuan Gabenor ini mendapat nasihat daripada Lembaga Pengampunan negeri masing-masing. Raja atau Yang di-Pertua Negeri mempengerusikan mesyuarat lembaga yang mempertimbangkan permohonan itu.

Sistem memberi pengampunan kepada pesalah dan banduan bukan hanya diguna pakai di Malaysia. Di Amerika – Presiden Amerika boleh memberi pengampunan sepanjang tempoh memegang jawatan, terhad kepada kesalahan persekutuan dan tertakluk kepada batas Perlembagaan Amerika.

Pada 1 Disember 2024, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Joe Biden, telah memberikan pengampunan penuh dan tanpa syarat kepada anaknya, Hunter Biden.

Pengampunan ini merangkumi kesalahan persekutuan yang dilakukan atau mungkin dilakukan oleh Hunter Biden dalam tempoh 1 Januari 2014 hingga 1 Disember 2024, termasuk kes berkaitan kesalahan senjata api dan pertuduhan cukai persekutuan.

Sementara itu, pada 20 Januari 2025 Donald Trump memberikan pengampunan penuh kepada pesalah dalam kes serangan ke atas Bangunan Capitol pada 6 Januari 2021, kecuali 14 individu yang menerima peringanan hukuman. Trump turut mengarahkan usaha menggugurkan pertuduhan yang masih berjalan. Keseluruhan tindakan ini melibatkan kira-kira 1,500 individu.

Raja Siam pada Hari Kelahiran Baginda akan memberi pengampunan. Sempena Ulang Tahun Kelahiran Raja Siam pada Julai 2021: Pengampunan diraja dalam bentuk pelepasan atau pengurangan hukuman diberikan kepada lebih 200,000 tahanan penjara.

Dalam kes berprofil tinggi yang berasingan, bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, turut memohon pengampunan diraja untuk mengurangkan hukuman.

Thaksin dibebaskan daripada baki hukumannya melalui pengampunan diraja pada 3 Jun 2026 sempena sambutan hari lahir Permaisuri Suthida.

Hakikatnya Pengampunan ini bukan hanya di Malaysia.

Ketika tulisan ini selesai digarap Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengeluarkan perintah baru yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Najib Razak, menjalani baki hukuman penjaranya melalui tahanan di rumah bermula 10 November 2026 hingga ke 23 Ogos 2028 berkuat kuasa serta-merta.

Jelas perintah Mahkamah Tinggi selaras dengan keputusan Lembaga Pengampunan.

Sila buka mata dan catat agar tidak kelam kabut sekali lagi. Peguam Negara, peguam Najib dan semua warga Satu Malaysia wajib ingat Najib ditahan di rumah hanya untuk baki hukuman enam tahun kes SRC.

Mengikut perintah sekarang, hukuman kes SRC ini berakhir 23 Ogos 2028.

Mengikut kedudukan hukuman sekarang, Najib dijadualkan mula menjalani penjara 15 tahun kes 1MDB pada 24 Ogos 2028, tertakluk kepada keputusan rayuan atau perintah mahkamah selanjutnya. Bukan lagi ditahan di Langgak Duta tetapi pulang ke penjara yang ditetapkan pihak berkuasa.

Sebarang perubahan tarikh atau hukuman melalui proses undang-undang yang sah perlu dijelaskan. Jangan mencelarukan sekali lagi kes ini.

Kepada Peguam Negara dan pengamal undang-undang sila terangkan perkara ini dalam bahasa yang mudah difahami oleh rakyat biasa. Jauhi bahasa guaman yang menjadikan orang ramai keliru.

Saya akhiri dengan ungkapan: "Jika kamu tidak dapat menjelaskannya kepada kanak-kanak berusia enam tahun, bermakna kamu sendiri tidak memahami perkara itu."


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.