KOLUM | Sudah lebih seminggu skandal Jensen Huang berlaku dengan kemuncaknya ialah pengunduran lelaki kelahiran Taiwan pada 17 Feb 1963 daripada jawatan CEO Nvidia pada 12 Nov lalu.

Nvidia kehilangan antara AS$450 bilion (RM1.8 trilion) hingga AS$550 bilion (RM2.25 trilion) dalam pasaran modal sebaik saja skandal itu terdedah, diikuti peletakan jawatan Huang.

Kesan terhadap skandal itu adalah besar. Ia bukan saja memberi kesan kepada pasaran saham teknologi di AS tetapi juga masa depan industri kecerdasan buatan (AI) seluruh dunia yang terus bersangkut paut pada masa depan manusia.

Apa yang pasti, ketiadaan Huang di Nvidia telah memperlahankan perkembangan AI di dunia.

Pada awal peristiwa itu, isunya ialah soal keselamatan nasional AS. Huang dilaporkan mempunyai hubungan romantis dengan Alice Huang yang didakwa merupakan perisik China. Ekoran itu,  Lembaga Pengarah Nvidia akan menyiasat dan Kongres akan menyoal siasat Huang.

Setelah seminggu Jabatan Keadilan AS (DOJ) menyatakan mereka tidak pernah menuduh Alice sebagai perisik China. Beijing sejak awal lagi sudah membuat menafikan, dan menganggap tuduhan itu hanya untuk memburukkan China.

Ia memang sesuatu yang sering berlaku.

Kemudian timbul laporan bahawa Alice adalah perisik perdagangan untuk syarikat Huawei yang merupakan pesaing Nvidia. Perkara itu juga dibuat tanpa sebarang bukti dikemukakan.

Kemudian timbul tuduhan bahawa Huang ada satu lagi hubangan romantis lain, iaitu Naib Presiden Kesihatan Nvidia, Kimberly Powell. Hubungan itu dianggap lebih berat.

Skandal demi skandal

Sekurang-kurangnya Alice bukan kakitangan Nvidia. Alice hanyalah seorang pelanggan Nvidia dan tuduhan bahawa dia seorang perisik tidak terbukti.

Hubungan romantis dalam tempat kerja adalah terlarang di Nvidia dan melanggar integriti dalam korporat AS.

Tidak cukup dengan itu, keluar pula dakwaan baru bahawa Huang mempunyai satu lagi hubungan dengan seorang eksekutifnya. Siri tuduhan tersebut muncul seolah-olah untuk memberi tekanan kepada Huang supaya berundur.

Maka Huang meletak jawatan sebagai CEO, presiden dan ahli lembaga pengarah. Siasatan yang dilakukan oleh lembaga tidak selesai. Soal siasat Kongres belum diadakan.

Dalam keadaan itu tentulah banyak  kalangan yang terdorong untuk berpendapat bahawa Huang sememangnya hendak disingkiran oleh pihak-pihak yang mempunyai kuasa.

Maka timbul laporan hubungan ketiga Huang - juga dengan seorang kakitangan Nvidia.

Tidak cukup dengan dua. Dilaporkan ada tiga skandal. Maknanya ada pihak yang mengekori Huang dan mengambil video untuk dijadikan bukti.

Huang hanya mengaku tujuh skandal yang pertama tetapi reputasinya sudah begitu buruk untuk dia kekal dalam Nvidia. Pada masa sama umum faham bahawa tanpa Huang, Nvidia sukar untuk terus berkembang.

Industri AI pasti terjejas.

Maka tidak hairanlah banyak pihak yang beranggapan yang Huang tidak boleh dipercayai. Maka ada kesimpulan bahawa Huang mahu disingkirkan hanya kerana dia seorang Cina.

AS yang takut kepada Beijing tidak akan membenarkan individu yang berpengaruh dalam AI adalah seorang Cina. Hal itu kerana semua tokoh utama teknologi AI yang lain ialah orang kulit putih walaupun bukan berasal dari AS.

Misalnya Elon Musk dan Yahudi seperti Mark Zuckerberg, Namun mereka juga dianggap sebagai 'orang putih'.

Hakikat itu sering diutarakan oleh para netizen dalam media sosial. Mereka tidak boleh menerima orang Cina walaupun orang itu amat cerdik dalam bidang teknologi.

Watak keras di sekeliling Trump

Di Lembah Silikon di AS juga, ramai daripada kalangan jurutera syarikat-syarikat di situ adalah orang Cina.

Sedangkan Huang ialah warga AS yang bukan saja menyayangi AS malah menyumbang kepada teknologi dan kekayaan negara itu.

Memang Huang seorang imigran tetapi dia bukan berasal dari Republik Rakyat China. Huang lahir di Taiwan, sebuah negara yang menjadi sekutu AS.

Malah Taiwan menganggap China adalah musuh yang telah mengancam  pulau itu. Tambahan pula, Taiwan adalah negara pengeluar mikrocip yang digunakan oleh komputer dan telefon AS.

Tanpa Taiwan, industri teknologi akan runtuh. Tetapi sentimennya ialah semua orang Cina - tidak kira di mana pun - adalah berpotensi sebagai pengkhianat.

Kesetiaan mereka dicurigai dan disyaki diberikan kepada Beijing, bukannya Washington atau ibu kota lain.

AS telah menghalau Huawei, mengambil alih TikTok dan tidak hairanlah mereka mahu menyingkirkan Huang dari Nvidia. Ia berlaku walaupun Huang berrkahwin dengan orang putih.

Kecurangan Huang terhadap isterinya, Lori, menambahkan lagi kecurigaan AS bahawa dia tidak boleh dipercaya.

Sentimen rasisme antiorang Cina atau sinophobia itu lebih terserlah dalam kalangan Republikan di sekeliling Presiden Donald Trump. Walaupun Trump memang membela Huang tetapi sikap orang di sekelilingnya - seperti Setiausaha Negara Marco Rubio - amat keras terhadap tokoh terbabit.

Rubiolah yang memberatkan lagi dakwaan bahawa Alice seorang perisik China.

Marco Rubio.

Apa yang dikatakan sebagai laporan perisikan itu hanyalah anggapan dari pelbagai data, namun pihak yang menyampaikan laporan kepada Trump dengan kata-kata yang berat ialah Rubio.

Ditambah pula dengan laporan bahawa Huang mendukung dasar sistem sumber terbuka - yang bererti China patut bebas membeli cip berkeupayaan tinggi Nvidia dan AS tidak wajar menyekatnya.

Penyokong dasar itu berpandangan, sebarang sekaatan penjualan cip kepada China akan mendorong negara itu mencipta cip sendiri dan pasaran cip China yang besar tidak dapat dimanfaatkan oleh AS.

Sedangkan dasar Washington ialah China wajar dihalang daripada mencapai kemajuan AI demi keselamatan AS. Untuk itu Chima mesti disekat daripada membeli cip AS khususnya buatan Nvidia yang berkemampuan tinggi.

Bagi Huang dan golongan pendukung sistem sumber terbuka itu, walaupun China disekat, negara itu akan tetap mampu mencapai kemajuan dalam bidang AI.

Golongan pendukung sistem sumber tertutup pula melihat pendirian Huang sebagai mengancam keselamatan negara dan dia boleh dihalau kerana bersekongkol dengan China.

Mahu kaut keuntungan besar

Hakikat bahawa Huang ialah seorang Cina-Amerika menambahkan lagi kecurigaan berkenaan.

Pemerhati melihat kesungguhan Huang menyokong sistem terbuka adalah lebih kerana didorong kedudukannya sebagai peneraju Nvidia yang mahu cip syarikat itu dijual di China.

Ia adalah langkang untuk meraup pasaran China. Ia juga adalah bermatlamatkan kepentingan perniagaan Nvidia dan tiada melibatkan kepentingan politik.

Sementara itu timbul pula laporan bahawa Beijing tidak mahu syarikat China membeli cip berkemampuan tinggi dari AS. Malah ada cip yang tersadai di Hong Kong dan tidak dapat masuk ke China.

Dasar Beijing ialah mahu syarikat China membangunkan sendiri cip berkemampuan tinggi dan selanjutnya tidak bergantung kepada AS.

Maknanya dasar Trump dan Presiden Xi Jinping dalam hal ini adalah serupa saja.

Trump meraikan lawatan Xi Jinping di Rumah Putih pada Sept lalu.

Jika demikian, mengapakah berlaku kemasukan haram cip Nvidia melalui Singapura dan Malaysia seperti yang didakwa? Mungkinkah Alice mengurus kemasukan itu bagi syarikat-syarikat China dan ia tiada kaitan dengan kerajaannya.

Syarikat-syarikat China seperti Huawei dan Alibaba dikatakan mahu cip-cip itu.

Kemudian timbul laporan bahawa berita awal The New York Times yang menyatakan Alice disyaki perisik China datangnya daripada Anthropic, syarikat AI yang menyokong sistem tertutup.

Bagi mereka jika sistem AI terbuka, kumpulan itu tidak akan dapat meraih keuntungan. Sistem tertutup membolehkan syarikat-syarikat AI mengaut keuntungan seperti Microsoft memperoleh keuntungan dengan mengenakan bayaran pada perisian mereka.

Anthropic dijadual melakukan penyenaraian di bursa saham pada hari 18 Nov. Maka syarikat itu mempunyai kepentingan untuk Huang disingkirkan.

Jika itu berlaku, maka apa yang sedang berlangsung bukanlah 'perang cip' di antara AS dan China sebaliknya perang saudara AI di AS, di antara Nvidia dengan Anthropic.

Nvidia diketuai oleh seorang Cina-Amerika dengan satu lagi syarikat yang diketuai oleh orang putih.

Sentiasa prejudis pada belahan Timur

Kemudian timbul satu spekulasi bahawa proksi Israel mahu nengambil alih Nvidia seperti apa yang berlaku ke atas TikTok. Ia semakin kuat selepas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Nvidia, Colette Kress, dilantik sebagai CEO sementara bagi mengisi tempat Huang.

Colette amat menjaga privasinya dan apa agama yang dianuti tidak dinyatakan. Tetapi dia dinyatakan bukan seorang Yahudi. Cuma ibunya mempunyai nama keluarga Zarzycky yang ada asal-usul Poland atau Yahudi Poland.

Tetapi apa yang ketara, bahawa tempoh sepanjang menjadi CFO Nvidia, setiap hari tugas pertamanya ialah menghubungi kilang Nvidia di Israel yang mempunyai 600 kakitangan.

Huang juga berterus terang menyatakan dia memberikan komitmen 100 peratus kepada Israel dan memelihara kebajikan 600 pekerja Nvidia di negara itu.

Bahkan dia berpihak kepada AS dan Israel dalam perang negara terbabit ke atas Iran. Dia juga nengatakan ada ramai kakitangan Nvidia yang berasal dari Iran.

Mereka, kata Huang, ada sanak-saudara di Iran yang diharapkan dapat bebas daripada pemerintahan Republik Islam Iran.

Jensen Huang.

Memang jelas Huang bukan saja setia kepada AS dan sekutunya - termasuk Israel dan Taiwan - bahkan dia tidak akan menyebelahi Beijing apatah lagi Tehran.

Walaupun Huang merupakan etnik Cina, dia bukanlah Chinese-American sebaliknya adalah Taiwanese-American.

Dalam pada itu, sememangnya ada rasisme di AS. Orang kulit putih secara umumnya - walaupun tidak semua - akan sentiasa berasa curiga atau bersikap prejudis terhadap orang Asia Timur.

Mereka tetap mencurigai orang Cina tidak kira sama ada orang itu dari China, Taiwan, Singapura atau Malaysia.

Seperti kata seorang TikToker, orang kulit putih mahukan kepandaian dan syarikat yang diasaskan orang Cina tetapi enggan menerima mereka sebagai warga AS yang setaraf, saksama dan demokratik.

Pun begitu sejarah menunjukkan bahawa, apa juga yang dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas etnik Cina di mana-mana di dunia ini, mereka tetap mampu bekerja keras.

Mereka bukan saja boleh survive bahkan mampu prosper (makmur).


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.