KOLUM | Menggadaikan wajah tempatan skuad kebangsaan
KOLUM | Tarikh 4 Julai 1954. Hujan mencurah-curah membasahi rumput Stadium Wankdorf di Bern, Switzerland. Padang becak dan berlumpur itu menjadi saksi kepada detik paling magis dalam sejarah bola sepak dunia.
Di tepi garisan padang ketika waktu rehat, satu susuk tubuh duduk bercangkung, tekun menjalankan tugasnya. Dia menukar stud aluminium pada but pemain Jerman Barat kepada stud yang lebih panjang.
Tukang kasut itu ialah Adi Dassler – pengasas jenama tempatan yang baru bertatih, Adidas.
Inovasi kecil di tengah hujan lebat itu membantu Fritz Walter – selaku ketua pasukan – dan rakan-rakannya mencengkam padang licin untuk bangkit menewaskan gergasi bola sepak dunia ketika itu, Hungary, dengan keputusan 3-2.
Ia adalah perlawanan akhir Piala Dunia.
Bagi rakyat Jerman Barat yang masih trauma dan menanggung malu akibat kehancuran Perang Dunia Kedua sembilan tahun sebelumnya, “Keajaiban Bern” bukan sekadar kemenangan bola sepak.
Ia adalah hari kelahiran semula maruah bangsa.
Sejak detik itu, jersi putih dengan tiga jalur hitam di bahu itu merupakan identiti yang tidak terpisah lagi buat skuad Die Mannschaft, sekali gus menjadi simbol kebangkitan ekonomi dan jati diri Jerman.
Dua kali ganda daripada Adidas
Namun, selepas lebih tujuh dekad menyulam sejarah bersama, kisah cinta ikonik itu akhirnya menemui titik noktah pada 16 Nov lalu ketika Jerman turun beraksi di Stadium Olimpik Berlin.
Pasukan itu Belanda dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah.
Bermula Jan depan, Jerman secara rasmi akan menanggalkan identiti anak watan mereka sendiri. Sebaliknya, skuad kebangsaan Jerman bakal tampil dengan logo Swoosh milik gergasi korporat AS, Nike.
Jika dilihat dari kaca mata sejarah dan geopolitik budaya, keputusan Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) itu menyimpan satu ironi yang cukup pedih.
Selepas Perang Dunia Kedua, AS masuk ke Jerman Barat menerusi The Marshall Plan untuk membangunkan semula ekonomi negara yang ranap itu. Ia adalah langkah terancang dan strategik Washington untuk menjadikan negara terbabit sebagai benteng kapitalis sekali gus menyekat kemaraan pengaruh Soviet Union.
Tujuh puluh tahun kemudian, AS datang lagi.
Kali ini sebagai pemodal besar yang dianggap meragut simbol kebangsaan paling keramat Jerman menerusi kontrak mewah.
Nilainya dilaporkan sebanyak €800 juta dan dalam tempoh lapan tahun. Jumlah itu adalah hampir dua kali ganda daripada nilai tajaan Adidas.
Tanpa sebutir peluru pun dilepaskan, Jerman tewas dalam sebuah perang yang halus. Model ekonomi Jerman yang selama ini cuba mengimbangi pasaran bebas dengan nilai sosial dan jati diri tempatan akhirnya tumbang di kaki gergasi korporat Pak Cik Sam.
/file/attachments/890/CrushedStripesBeneaththeSwoosh_819822.png)
Malah, menteri-menteri di Berlin sendiri secara terbuka meluahkan rasa kecewa dan menyifatkan keputusan DFB sebagai tidak patriotik. Namun, kemarahan ahli politik dan pemimpin negara ternyata tidak mampu melawan hukum pasaran bebas.
Bagi meredakan gelombang kecaman, DFB pantas mempertahankan keputusannya atas dasar tawaran ekonomi terbaik menerusi proses tender yang telus demi membiayai pembangunan bola sepak wanita dan akar umbi.
Realitinya, apabila Adidas sendiri enggan menyaingi tawaran lumayan Nike, Lembaga Pengarah DFB akhirnya terikat dengan logik korporat demi menyelamatkan persatuan daripada muflis.
Tersingkir awal dalam dua edisi Piala Dunia berturut-turut (2018 dan 2022), ditambah pula dengan beban denda skandal cukai serta kos pembinaan kampus baru DFB yang melambung, badan induk itu terpaksa segera mencari talian hayat.
Simbol menyatukan memori dan emosi
Namun persoalannya, apabila Nike datang menghulurkan tawaran luar biasa itu, adakah ia bermaksud segala nilai sejarah, air mata di Bern dan semangat kenegaraan terus disapu bersih dan dicampak ke dalam tong sampah?
Jawapannya pahit untuk ditelan, tetapi itulah hakikat bola sepak moden.
Dalam sistem kapitalis yang tidak lagi mengenal batas negara mahupun nilai sentimental terhadap warisan anak watan, kesetiaan dan jati diri juga boleh diniagakan di atas meja rundingan.
Asalkan angkanya cukup besar untuk menutup lubang kegagalan tadbir urus, apa sahaja boleh dilelong kepada pembida tertinggi.
Sebenarnya, Adidas sendiri hari ini bukanlah sebuah bengkel kasut warisan yang suci daripada hukum kapitalisme.
Sebagai syarikat multinasional, kilang mereka sudah lama berpindah ke Asia demi mengaut untung maksimum dengan mengambil kesempatan daripada hasil keringat buruh murah.
Malah mereka sendiri tanpa segan silu sudah sekian lama menaja pasukan kebangsaan negara lain.
Namun, di mata penyokong Jerman, menanggalkan jenama anak watan selepas tujuh dekad itu tetap terasa seperti merobek sebahagian daripada jiwa bangsa.
Kisah Jerman menanggalkan pakaian tradisinya itu bukanlah sesuatu yang terpencil.
/file/attachments/orphans/DeutscherFuball-Bund1_588191.jpg)
Dalam sosiologi sukan, jersi pasukan kebangsaan merupakan simbol keramat yang menyatukan memori, emosi dan maruah sesebuah masyarakat.
Tetapi di bawah cengkaman pasaran bebas kini, simbol itu telah dicabut rohnya dan ditukar menjadi barang dagangan semata-mata.
Malah, negara-negara yang terkenal dengan tembok kebanggaan budaya dan nasionalisme yang cukup tebal seperti Jepun dan Itali juga pernah akur kepada hukum tersebut.
Jepun – dengan semangat kesetiaan tinggi terhadap produk buatan sendiri – suatu ketika dahulu megah menyarung jenama tempatan seperti Asics dan Mizuno. Ia berlaku ketika era kebangkitan Samurai Biru pada 1980-an dan 1990-an.
Mereka kemudian beralih kepada Adidas sejak 1999.
Itali pula meninggalkan jenama warisan anak watan mereka seperti Diadora, Lotto dan Kappa sejak 2003 untuk menyarung jersi buatan gergasi Jerman, bermula dengan Puma dan kini Adidas.
Sekadar tempelan kosmetik
Menurut hujah kelompok yang bersetuju dengan langkah tersebut, mengikat kontrak dengan jenama gergasi luar bukanlah dosa atau pengkhianatan terhadap semangat patriotik, asalkan nilai penajaan itu dijadikan bahan api untuk membina akar umbi.
Itulah yang dilakukan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) apabila menerima suntikan dana Adidas pada 1999.
Dana itu dijadikan bahan bakar tambahan untuk memperkasakan lagi ekosistem yang sudah mereka rintis menerusi JLeague dan pusat latihan J-Village.
Setiap yen dipulangkan semula untuk melatih puluhan ribu jurulatih berlesen serta menghantar bakat remaja menimba ilmu di Eropah.
Jepun hanya menggadaikan “kulit” luaran, tetapi cekal mempertahankan “isi” dan ekosistem dalaman dengan nyawa sendiri sehingga melahirkan skuad yang dibarisi hampir seratus peratus anak watan bertaraf dunia.
Tetapi dalam konteks bola sepak negara kita, perkara yang berlaku adalah sebaliknya.
FAM bukanlah baru sekarang bekerjasama dengan jenama besar antarabangsa.
Sudah berdekad lamanya skuad Harimau Malaya menyarung jersi keluaran gergasi dunia – daripada Adidas, hampir dua dekad bersama Nike, sehinggalah kini beralih kepada Puma.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/10/3a9d4e2812188321815cac197abeeef6.jpg)
Walaupun skala tajaan jersi di rantau ini tidaklah mencecah ratusan juta seperti di Eropah, hakikatnya jenama gergasi di dada Harimau Malaya sekadar menjadi kosmetik.
Pelbagai dana awam dan tajaan komersial yang mengalir dalam ekosistem bola sepak tempatan gagal diterjemahkan menjadi pelaburan tuntas untuk membina akar umbi yang telus.
Apabila pembangunan di peringkat bawah terabai, kita memilih jalan pintas dengan mengejar projek naturalisasi dan lambakan pemain warisan segera.
Akhirnya, sudahlah jenama pada jersi bukan milik tempatan, wajah-wajah yang menyarung jersi itu di atas padang pun semakin hilang rupa dan identiti nasional.
Bakat-bakat muda kita yang bertungkus-lumus sejak di padang sekolah dan akademi akar umbi terus dinafikan hak dan impian mereka untuk menyarung jersi keramat negara di peringkat senior.
Cuma helaian kosong tak bermaya
Apa yang berlaku kepada Jerman adalah peringatan keras kepada mana-mana institusi sukan – termasuk di tanah air kita sendiri – tentang harga yang perlu dibayar apabila pengurusan dalaman dibiarkan rapuh dan tidak kompeten.
Apabila asas pembangunan akar umbi diabaikan dan tadbir urus gagal berfungsi secara profesional, sesebuah persatuan itu akhirnya akan hilang kedaulatan.
Mereka tidak lagi mampu membuat keputusan berdasarkan prinsip atau jati diri, sebaliknya terpaksa menadah tangan kepada mana-mana pemilik modal yang sanggup menyelamatkan mereka daripada terus tenat.
Hari ini Jerman menggadai tiga jalur di bahu mereka kepada AS demi menutup defisit kewangan.
Di sini, kita menggadaikan wajah tempatan skuad kebangsaan dan menyerahkan kuasa menentukan hala tuju pasukan negara kepada ego kelab-kelab kaya.
Skripnya berbeza, tetapi puncanya tetap sama: obsesi kepada hasil segera dan kebergantungan melampau kepada kuasa wang sehingga sanggup melucutkan maruah asal sendiri.
Jika negara sekuat Jerman yang begitu teguh mempertahankan warisan industrinya pun akhirnya terpaksa akur di kaki gergasi korporat, bagaimana kita yang memang sudah lama terbiasa mengambil jalan mudah dalam hampir semua perkara.
Barangkali tidak lama lagi, tiada lagi istilah “jiwa kebangsaan” yang benar-benar kebal dalam kamus sukan moden.
Yang tinggal hanyalah helaian kain kosong yang menunggu untuk disarungkan dengan apa sahaja logo – asalkan bayarannya setimpal.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang guru dan jurulatih yang percaya bola sepak bukan sekadar sukan, tetapi budaya yang membentuk masyarakat.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/890/TigerEyesThroughTornSlashes_548748.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.