KOLUM | Cerita tentang si Biru Laut dan bisa gerakan mahasiswa
KOLUM | Saya mendadak menempah tiket ke Jakarta hanya untuk menonton Laut Bercerita, meski telah menerima khabar filem itu mungkin ditayangkan di Malaysia pada awal bulan depan.
Lelah menunggu teman-teman aktivis bertukar ahli politik yang bukan main sibuknya di Melaka. Langsung saja mereka saya tinggalkan; sesuai slogan pergerakan mahasiswa sekitar 20 tahun lalu: lambat, tinggal!
Hawanya panas dan kering. Indeks Pencemaran Udara di tengah kota Jakarta dicatat pada julat sekitar 120 ke 130. Semakin santak ke petang – ketika warganya berangkat pulang dari kerja – angka itu mencecah 160.
Namun udara di dalam Kompleks Sarinah di perempatan Jalan KH Wahid Hasyim tentunya dingin dan nyaman, terawat dengan aroma dupa yang entah dari mana puncanya.
Sepelontar dari sana, Jalan Sabang menawarkan lapak makanan buat melapik perut warga, serta pelancong luar yang penasaran dengan segala macam jajan serta gorengan yang menjadi tulang belakang ekonomi ibu kota Indonesia yang satu itu.
Pun begitu, makanan bukan tujuan. Langkah kaki mengarah ke pawagam di seberang jalan Kompleks Sarinah itu, untuk tiket wayang yang kalau dikira dalam matawang kita, hanya RM5.60. Tanpa popcorn dan minuman.
Itulah pertama kali saya ke Jakarta, kerana bangsa Indonesia ternyata bukan saja berani menghasilkan filem tentang pergerakan mahasiswa, bahkan berani menayangkannya pada saat demonstrasi mahasiswa kembali menggugat pemerintah lewat isu jerebu dan pencemaran alam sekitar.
Juga isu korupsi dan politik yang seperti biasa tidak pernah lekang daripada deru angin dan percakapan warga sehari-hari.
Kaitan Prabowo dan gerakan hilang paksa
Sebelum lanjut tentang filemnya, kita buka dulu dengan sedikit latar sejarah dan kaitannya dengan Presiden Negara Kesatuan Republik Indonesia yang satu itu – Prabowo Subianto.
Pada 25 Julai 2018, BBC Indonesia melaporkan tentang 34 dokumen rahsia AS yang mendedahkan siri laporan diplomatik mengenai perkembangan politik dan keselamatan Indonesia menjelang era Reformasi pada 1998.
Pendedahan tersebut merupakan sebahagian daripada himpunan dokumen diplomatik AS yang didedahkan kepada umum oleh National Security Archive, sebuah institusi penyelidikan bebas yang berpangkalan di Universiti George Washington.
Antara pendedahan utama ialah dakwaan bahawa Prabowo – yang ketika itu pegawai kanan tentera Indonesia – telah mengarahkan pasukan elit Komando Pasukan Khusus (Kopassus) untuk melaksanakan operasi penghilangan paksa terhadap sejumlah aktivis mahasiswa.
Dokumen Kedutaan Besar AS di Jakarta bertarikh 7 Mei 1998 mendedahkan catatan mengenai aktivis mahasiswa yang dilaporkan hilang dalam gelombang penculikan dan penghilangan paksa menjelang kejatuhan rejim Suharto.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/07/de2ce641a23b158f9542b63ba2d30635.jpg)
Berdasarkan perbualan seorang pegawai politik Kedutaan AS dengan seorang pemimpin organisasi mahasiswa, nama Prabowo Subianto telah dikaitkan dengan operasi berkenaan.
Lebih serius, laporan tersebut merekodkan bahawa operasi penghilangan paksa itu diarahkan oleh Prabowo berdasarkan arahan Suharto.
Ketika kempen Pilihan Raya Presiden Indonesia 2014, Prabowo berulang kali berdepan persoalan mengenai penglibatannya dalam peristiwa penculikan aktivis pada 1998.
Dia mempertahankan tindakannya dengan menyatakan bahawa sebagai seorang anggota tentera, dia sekadar melaksanakan tanggungjawab berdasarkan arahan pihak atasan.
Dua puluh lapan tahun kemudian – dan selepas lima kali mencuba – Prabowo akhirnya berjaya menjadi penghuni Istana Merdeka sebagai Presiden Indonesia.
Novel Laut Bercerita tulisan Leila S Chudori terbit pada 2017.
Hujung Okt lalu, novel tersebut diadaptasi menjadi filem. Ia menyorot gerakan mahasiswa, penghilangan paksa dan kekejaman sebuah rejim yang merancang kekal berkuasa.
Ketakutan yang luar biasa
Laut Bercerita edisi sampul filem diterbitkan dengan warna merah menyala. Di tengahnya ada gambar dari satu babak meja makan keluarga watak utama cerita tersebut; Biru Laut.
Konteks meja makan ini, sekejap lagi kita cerita.
Si Laut itu ialah seorang aktivis mahasiswa yang bergerak menentang pemerintahan Orde Baru. Pergerakan itu tentunya bersifat underground justeru diungkap sebagai ancaman terhadap rejim.
Misi pergerakan itu memperjuangkan demokrasi, hak bersuara dan segala yang hak.
Dengan latar zaman lewat 1990-an, anak Gen Z yang menonton Laut Bercerita mungkin akan perlu mencari tahu tentang alat kelui (disebut pager dalam dunia nyata), kerana pada zaman itu, itulah yang ada – pager.
Tidak ada WhatsApp, bahkan internet juga masih ada bunyi telefon. Risalah dicetak pada kertas murah dan diedar di kuliah. Tidak ada media sosial. Tidak ada GPS.
Pun demikian, ketakutan pemerintah terhadap mahasiswa itu tetap luar biasa!
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/05/17e07c565f76556e4631ec1f1b8ed2d4.jpg)
Ada satu babak dalam filem itu, Laut dan teman-temannya yang menjadi buruan mengambil waktu untuk menenangkan kerinduan salah seorang mereka terhadap keluarga.
Lalu mereka ketawa besar – masakan mahasiswa yang lagi rindu pada mamanya ditakuti sama pemerintah.
Ketakutan menjadi tema besar cerita itu. Meski dalam bingkai yang berbeza-beza.
Pemerintah takut mahasiswa, maka ditangkap, dipenjara dan diseksa. Ada yang kemudiannya berakhir tragis, manakala ada yang dihantar pulang dengan ancaman terhadap nyawa.
Keluarga pula takut akan ketidaktentuan sambil menanti jawapan. Entah ke mana hilang anak mereka, dan entah bila akan pulang. Justeru setiap hari piring makan disiapkan walau tuan punya piring tidak pulang-pulang menjamah makanan.
Selebihnya perlu tonton sendirilah. Dan kalau ada air mata yang tumpah, maka di situlah kejayaan penulisan untuk menggugat ketenteraman emosi.
Saya nangis. Meski tidak pernah ditangkap rejim, disoal-siat-siat oleh aparat, atau berdepan sendiri dengan pegawai Cawangan Khas; segalanya terasa. Sementalahan sudah pernah serumah dengan beberapa mantan aktivis juga.
Ditahan tanpa bicara
Duluuu (ini memang perlu dibaca panjang, sebab memang sudah lama), kami pernah kutip kain-kain rentang, ikat dengan tali rafia sehingga menjadi sebuah kain rentang besar – sama lebar dengan balkoni Masjid Negara. Labuhnya sampai muat tulisan Mahasiswa Bersama Rakyat, dan kami kibarkan semasa Demo Air Negeri Selangor pada 5 Dis 2010.
Perhimpunan itu sekadar untuk menyerahkan memorandum ke Istana Negara (yang ketika itu masih terletak di Jalan Istana) bagi membantah kenaikan tarif air di Selangor.
Yang mengepalai perhimpunan itu tidak lain Menteri Besar Selangor sendiri, Almarhum Khalid Ibrahim.
Perarakan dari simpang Masjid Negara dan stesen kereta api Kuala Lumpur menyaksikan mahasiswa berada di barisan paling hadapan sebelum ditembak dengan gas pemedih mata serta air gatal.
Semputlah saya dan kawan-kawan berlari masuk ke stesen KTM mencari tandas untuk membasuh muka. Sesak bernafas, kepedihan, dan batuk setengah mati. Tapi kami gagahi kerana: ‘mahasiswa jurubicara rakyat’.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/3c92edd6ce0c755c2fa11387875722c3.jpg)
Suatu ketika semasa 1974, yang paling ke depan dalam demonstrasi Baling tentunya tidak lain pemimpin mahasiswa ketika itu yang namanya Anwar Ibrahim.
Harga getah jatuh daripada 60 sen sekati menjadi 15 sen, penduduk Baling yang rata-rata petani jatuh miskin sehinggakan ada keluarga yang bergantung hidup memakan ubi.
Maka mahasiswa bingkas membela nasib petani, menjadi suara yang tidak mereka miliki.
Anwar kemudiannya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Untuk adik-adik Gen Z, itu maksudnya dia ditahan tanpa bicara, tidak dibawa ke mahkamah, tidak didakwa, tidak dibicara, dan tidak disabitkan kesalahan.
Hampir dua tahun lamanya.
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) kemudian dipinda pada 1975 untuk menghalang mahasiswa daripada terlibat secara aktif dengan parti politik dan kesatuan sekerja.
Cerita-cerita ini tak ada siapa nak buat filem? Tak cukup kapitaliskah?
Semoga panjang umur perjuangan!
IZMIL AMRI merupakan penulis dan pemerhati politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Lapor komen ini
/file/attachments/890/WitheredRedRoseonaVintagePlate_805892.png)

Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.