PASAL SATU

Ayo saudara tak usah berdengki,
hidup di dunia nin hanya sekali.

Ayo saudara moh rapat ke mari,
datang mendekat kanan dan kiri.

Ayo penjaga adat nan terpuji,
bertandang ziarah di Seri Nanti.

Ayo tenang senangkan diri,
melihat renung ke dalam hati.

Ayo kita nin syarak bersendi,
ayo kita nin selawatnya nabi.

Ayo segenap akal dan budi,
semua kembali balik Ilahi.


PASAL DUA

Alahai kita nin berlain suku,
tapi kita nin semua Melayu.

Alahai kita nin jangan melulu,
nanti lalai beroleh malu.

Alahai jangan serupa hantu,
selalu selalu jaga nin kelaku.

Alahai darat baruh dan hulu,
berkumpul sini duduk bertumpu.

Alahai kita nin berkongsi ibu,
tak usah digaduh haru dan biru.

Alahai semua asal kan satu,
letak pesaka jangan dibuntu.


PASAL TIGA

Kalau Dato suka yang benar,
raja adil tak usah dicagar

Kalau Dato suka nak dengar,
ceritera fitnah tak usah ditanggar.

Kalau Dato nin seorang pendekar,
gurindam nin jangan ditengkar.

Kalau Dato seorang yang sabar,
nasihat den nin nak buat sedar

Kalau Dato nin adatnya pakar,
hulu pangkal elok selongkar.

Kalau Dato nin hingar tak gemar,
mari duduk sini istighfar.


PASAL EMPAT

Termaktub sah dalam sejarah,
kalau raja nin jurai tak salah.

Termaktub gah mutu bertambah,
utara selatan datang bersembah.

Termaktub wibawa berdiri megah,
timur barat tidak tersanggah.

Termaktub tempur seamat gagah,
seorang diri pun baginda tak kalah.

Termaktub berita terakam kisah,
lawannya goncang habis dah rebah.

Termaktub daulat seamat cerah,
tumbang rebah dah segala fitnah.


PASAL LIMA

Kalau raja nin bijak memerintah,
kenal barang empunya maruah.

Kalau raja nin bencikan rasuah,
negeri aman kurang jenayah.

Kalau raja nin betul amanah,
bahagia rakyat beroleh anugerah.

Kalau raja nun bermadah lidah,
titah berpura ramai pun menyampah

Kalau raja nun tiada faedah,
haru negeri tamadun melemah.

Kalau raja kita khalifah Allah,
segenap kudrat melawan rasuah.


PASAL ENAM

Barang nun terlibat rasuah,
ingkar nun kepada Allah.

Barang nun memberi rasuah,
hidup dunia ditimpa susah.

Barang nun menerima rasuah,
dilaknat selama Rasul Allah.

Barang nun memuja rasuah,
cacat akidah tercela fikah.

Barang nun tak endah rasuah,
dalam nuraka bersama murjiah

Barang siapa ampunkan rasuah,
kelaku bedebah wajib disanggah.


PASAL TUJUH

Pabila raja nun bernafsu besar,
berasa dewa tak boleh dicabar.

Pabila raja berhelah dan makar,
segala dagang dibolot disambar.

Pabila raja berniaga di pasar,
sifat memeras nun tak ada sabar.

Pabila raja pohon dibakar,
gugurlah daun tercabut akar.

Pabila raja nun dah biasa onar,
banyak rasuah legar tersebar.

Pabila raja nun tak mahu diajar,
Dirimas makruf dibiasakan mungkar.


PASAL LAPAN

Jikalau raja baik dan adil,
habuan disembah dia tak ambil.

Jikalau raja pemurah tak bakhil,
dianggap obor dipandang kandil.

Jikalau raja mendengar tak degil,
terlalu izzah terserlah terampil.

Jikalau raja nun menerima dalil,
tak ada khilaf tak lintas musykil.

Jikalau raja nun baligh dan akil,
tak jadi ketuat nun serupa kutil.

Jika raja nin teromba ditampil,
petanda adat ditampung diwakil.


PASAL SEMBILAN

Adapun arif sifatnya raja,
Yamtuan Besar di atas takhta.

Adapun rasuah tersangat murka,
tiada tuanku memberikan muka.

Adapun tersangat besarnya dosa,
jenayah rasuah sebab bencana.

Adapun berani nin menjadi punca,
raja dilawan tercetus sengketa.

Adapun dibongkar rasuah celaka,
niat nak lindung nin rakyat jelata.

Adapun siapa menentang baginda,
musuhnya tuanku habis binasa.


PASAL SEPULUH

Gurindam ini gurindam sepuluh,
moga kita terpandu kekal disuluh.

Gurindam ini gurindam sepuluh,
buat pedoman emas tersepuh.

Gurindam saya gurindam sepuluh,
tiada niat nin hendak mencemuh.

Gurindam dikarang pasal sepuluh,
merakam sejarah melerai rusuh.

Gurindam ini gurindam sepuluh,
jadikan petua saran dan patuh.

Gurindam hai gurindam sepuluh,
selamat didendang usai bertabuh.

[Usai dikarang pada 10 Jamadilakhir 1448 Hijrah oleh empunya dakwat, Faisal Tehrani namanya. Terilham dia oleh titah baginda Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan di Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat sempena Hari Keputeraan ke-78 baginda di Istana Besar Seri Menanti pada 14 Jan 2026: “Rasuah merupakan musuh utama kepada keadilan, amanah dan masa depan negara. Beta amat terperanjat dan kecewa apabila masih wujud pihak yang terus memberikan sokongan kepada individu yang telah disabitkan bersalah atas tuduhan rasuah yang amat besar, seolah-olah perbuatan tersebut boleh diterima dan dimaafkan. Mereka yang masih menyokong penjenayah seperti ini agar segera bermuhasabah diri serta menilai semula pendirian dan kepercayaan masing-masing. Ini kerana sebarang bentuk toleransi atau kompromi terhadap rasuah adalah bertentangan dengan prinsip kebenaran, keadilan serta amanah dan sama sekali tidak boleh diterima dalam sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.’]


FAISAL TEHRANI ialah pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, merangkap anak buah dari suku Tiga Batu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.