Kesatuan Eropah (EU) dan pemimpin Balkan bersetuju dengan 17 pelan untuk bekerjasama dalam menguruskan kehadiran pelarian melalui Semenanjung Balkan, kata Suruhanjaya Eropah.

Antara langkah-langkah yang dipersetujui dalam mesyuarat di Brussels pada petang Ahad ialah 100,000 tempat di pusat penerimaan perlu menyediakan laluan sepanjang Greece menuju ke Jerman.

Menurut laporan Al Jazeera, agensi pelarian Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan membantu bagi mewujudkan laluan itu.

Kira-kira 50,000 tempat akan diwujudkan di Greece dan 50,000 lain pula di laluan Balkan dan negara-negara seperti Macedonia dan Serbia, kata Presiden Suruhanjaya Eropah Jean-Claude Juncker selepas persidangan mini kemuncak 11 pemimpin serantau.

"Pelarian perlu dilayan dengan cara yang berperikemanuisaan di sepanjang laluan Balkan Barat untuk mengelakkan tragedi kemanusiaan di Eropah," kata Juncker.

Perjanjian yang dicapai itu dimeterai ketika perbezaan antara negara-negara anggota dalam menangani krisis pelarian yang terbesar di benua itu sejak Perang Dunia ke-2.

"Ini adalah salah satu ujian litmus terbesar yang pernah dihadapi oleh Eropah," kata Canselor Jerman, Angela Merkel.

Selain itu, mereka juga bersetuju untuk memperluaskan operasi persempadanan dan menggunakan sepenuhnya data biometrik seperti cap jari untuk mendaftar dan menyaring pendatang sebelum memutuskan sama ada untuk memberikan perlindungan atau menghantar mereka pulang.

"Dengan jelas kami memutuskan, polisi untuk membenarkan mereka masuk dengan cara melambai tangan mesti dihentikan," kata Presiden Suruhanjaya EU yang merujuk kepada perjanjian untuk bekerjasama dan mengelak hanya sebelah pihak sahaja yang menyumbang kepada keadaan huru-hara di seluruh rantau ini.

Hasil daripada mesyuarat itu juga bersetuju untuk menghantar 400 pegawai polis kepada Slovenia dalam masa seminggu untuk membantu negara tersebut menerima kedatangan pelarian.

Terdahulu, Perdana Menteri Slovenia Miro Cerar berkata, negaranya tidak menerima bantuan yang mencukupi daripada rakan-rakannya di EU.

Hampir 250,000 orang telah melalui kawasan Balkan sejak pertengahan September.

Crotia pula mengatakan, sebanyak 11,500 orang memasuki wilayahnya pada Sabtu- jumlah tertinggi dalam sehari sejak Hungary meletakkan pagar berdawai dan pelarian mula bergerak ke Crotia sebulan yang lalu.