"Daripada apa yang telah dilakukan oleh Suhakam sehingga ini, tiada satupun yang boleh dianggap sebagai satu pencapaian. Paling baik pun, ianya setakat mengambil 'inisiatif'."

Kata-kata ini bukan datangnya daripada pengkritik Suhakam, tetapi dari mulut Tan Sri Harun Hashim - naib pengerusi suruhanjaya itu sendiri.

Dan sesungguhnya, memang benar apa yang dikatakannya itu.

Bagaimanapun, untuk menilai prestasi Suhakam dalam melindungi hak asasi manusia - dan kebebasan akhbar khususnya - soalan yang harus kita tanya ialah bukan apa yang telah dilakukannya, tetapi hasilnya.

Jawapannya amat mendukacitakan. Ini dapat dilihat daripada rekod pencapaian Suhakam sejak tiga tahun kewujudannya - kita mulakan dengan 2000, iaitu tahun Suhakam ditubuhkan.

  • 13 Januari
: Pengarang Harakah Zulkifli Sulong dan pencetak Chia Lim Thye didakwa atas tuduhan hasutan.

  • 28 Februari
  • : Penerbitan Harakah dikurangkan daripada lapan kepada dua terbitan sebulan.

  • 27 Mac
  • : Majalah hal-ehwal semasa Detik yang diterbit oleh pengarang Ahmad Lutfi Othman telah diharam.

  • 15 April
  • : Tabloid mingguan Eksklusif yang diterbit oleh Karangkraf telah diharam.

  • 31 Ogos
  • : Majalah bulanan remaja al-Wasilah , yang juga diterbit oleh Ahmad Lutfi telah diharam.

    Tahun 2001 pun tidak kurang teruknya.

    • Februari
    : Kerajaan menghalang pengedaran majalah mingguan luar negeri, Asiaweek dan Far Eastern Economic Review . Asiaweek khususnya dituduh menerbit gambar Mahathir yang membuatnya kelihatan 'letih dan bodoh'.

  • 5 Februari
  • : Malaysiakini disekat membuat liputan majlis kerajaan. Polis juga tidak melayan malaysiakini .

  • 5 Mac
  • : Mahathir menuduh malaysiakini tidak patriotik. "Orang sebegini berkelakuan seperti pengkhianat ... dan orang yang mencintai Malaysia tidak boleh bergantung kepada mereka."

    • 14 Mac
    : Ketua polis Selangor membuat laporan polis terhadap malaysiakini kerana menyiarkan berita yang dianggapnya 'menghasut' mengenai tragedi Kampung Medan.

    • 28 Mei
    : MCA membeli akhbar bahasa Cina Nanyang Siang Pau dan China Press .

  • Disember : Kerajaan menegur akhbar The Sun kerana menyiarkan berita mengenai rancangan untuk membunuh dua pemimpin tertinggi negara.
  • Tahun lepas, serangan terhadap akhbar berterusan.

    • Januari
    : Kerajaan sekali lagi menghalang pengedaran majalah Newsweek , Time , Economist dan Far Eastern Economic Review .

  • 12 Mac
  • : Ahmad Lutfi menyerah kalah dan berhentikan semua penerbitannya setelah lama bergelut dengan Kementerian Dalam Negeri.

  • 3 April
  • : Malaysiakini dilarang membuat liputan sidang Parlimen.

  • 1 Jun
  • : TV2 membatal penyiaran dokumentari bahasa Cina mengenai pembelian Nanyang Siang Pau dan China Press .

  • 29 September
  • : Akhbar baru bahasa Cina Oriental Daily terbit sehari sahaja, setelah diberitahu yang ia tidak mempunyai permit percetakan. Kelulusan akhirnya diperolehi pada bulan Disember.

    Pertengahan pertama tahun ini juga melihat lebih banyak 'hakisan' kebebasan akhbar.

    • 20 Januari
    : Polis menyerbu malaysiakini dan merampas 19 komputer.

  • April
  • : Pemimpin-pemimpin kerajaan meyeru agar majalah Economist diharam.

  • 2 Mei
  • : Sehari sebelum Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, pengarang Harakah Zulkifli Sulong didenda RM5,000 atas kesalahan hasutan.

    Jadi apakah tindakbalas Suhakam terhadap serangan-serangan tersebut?

    Tidak banyak. Jelas sekali Suhakam lebih merupakan pemerhati yang terpisah daripada menjadi wira hak manusia. Tetapi dalam memberi pujian di mana ia patut diberi, Suhakam memang ada membuat beberapa saranan berhubung kebebasan akhbar tahun ini.

    Antaranya ialah kelulusan dan pembaharuan lesen penerbitan secara automatik, Pindaan Akta Percetakan dan Penerbitan serta Akta Rahsia Rasmi, serta penggubalan akta kebebasan maklumat sebagai jaminan kepada kebebasan akhbar dan mendapat maklumat.

    Bagaimanapun, sepertimana dengan lainnya, cadangan-cadangan ini tidak diambil endah oleh kerajaan.

    Siapa yang mengawal?

    Perjuangan untuk kebebasan akhbar - sama ada dengan sokongan Suhakam ataupun tidak - mesti diteruskan. Perjuangan ini berat kerana ia melibatkan dua bahagian - undang-undang yang menindas dan pemilikan media oleh kerajaan secara langsung dan tidak langsung.

    Banyak yang telah diperkatakan mengenai undang-undang yang menghalang wartawan daripada melakukan kerja mereka dengan sepenuhnya - PPPA, OSA, Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, penghinaan, fitnah dan sebagainya. Memadailah disebut di sini, kira-kira 35 undang-undang menjejaskan kebebasan akhbar secara langsung atau tidak langsung..

    Bagaimana pula dengan pemilikan media di Malaysia? Beginilah gambarannya.

    • Akhbar bahasa Inggeris
    : New Straits Times dan Malay Mail dikawal oleh Realmild, yang dipercayai dimiliki proksi Umno. The Star dimiliki syarikat pelaburan MCA, Huaren Holdings. The Sun dan akhbar mingguan perniagaan The Edge dimiliki oleh Nexnews - sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh Vincent Tan, seorang ahli korporat yang mempunyai kaitan rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, dan Tong Kooi Ong, bekas penyokong bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini mencari nafas baru.

  • Akhbar bahasa Melayu
  • : Utusan Malaysia dimiliki oleh Umno sejak pengambil alihan pada tahun 1961, manakala Berita Harian ialah sebahagian daripada Kumpulan New Straits Times Press di bawah Realmild.

  • Akhbar bahasa Cina
  • : Nanyang Siang Pau dan China Press dimiliki MCA, manakala Sin Chew Daily dan Guangming Daily dimiliki tauke balak dan media Sarawak, Tiong Hiew King, yang mempunyai kaitan rapat dengan MCA. Akhbar baru Oriental Daily pula milik seorang

    lagi tauke balak Sarawak, Lau Hui Kang.

  • Akhbar bahasa Tamil
  • : Kedua-dua Tamil Nesan dan Malaysian Nanban dimiliki oleh pemimpin MIC.

  • Stesen penyiaran
  • : TV1 dan TV2 milik kerajaan, TV3 di tangan Realmild, NTV7 milik Menteri Pertanian Effendi Norwawi, seorang ahli politik dari Sarawak, manakala TV satelit Astro pula milik Ananda Krishnan, seorang ahli korporat yang mempunyai kaitan rapat dengan Mahathir.

    Pembahagian hak milik stesen radio dipecah antara RTM yang dimiliki kerajaan (empat stesen) Astro milik Ananda (lima stesen), manakala MCA menguasai Rediffusion (dua stesen).

    Baru-baru ini, seorang lagi ahli korporat yang dikaitkan dengan Mahathir, Syed Mokhtar Al-Bukary, cuba membeli Utusan dan Kumpulan NSTP. Pembelian ini akan memberinya kuasa ke atas dua akhbar bahasa Melayu utama serta NST , Malay Mail dan TV3. Namun tidak jelas sama ada percubaan Syed Mokhtar ini akan berjaya kerana kerajaan juga tidak senang dengan monopoli media secara terang-terangan.

    Sesungguhnya, mereka inilah yang menguasai apa yang kita lihat, dengar dan baca.

    Tetapi bila semuanya telah disebut dan dibuat, rakyat Malaysia mendapatkan media sebagaimana sepatutnya. Hanya apabila ada kepelbagaian media - terutama sekali dari segi pemilikan media - barulah kebebasan akhbar yang sebenar dapat wujud. Jelas bahawa kita masih jauh daripada mencapai matlamat ini.

    Dan Suhakam juga tidak membantu. Selepas tiga tahun diwujudkan dan berjuta-juta ringgit dibelanjakan untuk suruhanjaya ini, tiada apa dapat didakwanya sebagai satu pencapaian.


    Artikel di atas sedutan ucapan yang disampaikan di majlis rundingan kebangsaan 'Suhakam Setelah Tiga Tahun' di Pulau Pinang, anjuran Era Konsumer pada 12 Julai lalu.