Apa lagi yang lebih tepat untuk memperingati sambutan jubli emas kumpulan muzik rock Scorpions selain menerbitkan album terbaru dan memulakan siri jelajah di lokasi terpilih.

Diberi judul Return to Forever, album studio ke-18 dan terkini band berasal dari Jerman itu sudah diluncurkan di Eropah pada akhir Februari lalu, namun ia masih belum dijual di Amerika Utara.

Namun menurut maklumat terbaru, peminat di benua Amerika Utara tidak lagi tertanya-tanya kerana Return to Forever akhinya akan mula dijual pada 11 September nanti.

Sempena dengan itu juga Scorpions akan memulakan siri konsert jelajahnya selama sebulan dengan Boston menjadi lokasi pembukaan pada 10 September.

Untuk edisi Amerika Utara, album itu mengandungi 19 lagu, termasuk empat lagi bonus dan tiga lagu eksklusif.

Vokalis Scorpions, Klaus Meine berkata, mereka berasa sangat teruja dan tidak sabar-sabar untuk menemui peminat di Amerika Utara.

Single daripada album itu, We Built This House akan mula dijual secara digital pada 3 Julai nanti dan jika anda membuat tempahan awal Return to Forever melalui iTunes atau Amazon, lagu berkenaan akan diperoleh secara percuma.

 

Return to Forever membawa lagu konsep muzik gabungan era 1980-an dan terkini. Tapi itu bukan segala-galanya.

Ketika menghasilkan lagu sebegitu Scorpions juga mendapat inspirasi mencipta lagu berirama baru juga.