Pinkan bekas Ratu tayang anak
Dalam diam-diam, bekas anggota kumpulan Ratu, Pinkan Mambo melahirkan anak ketiganya Rabu lalu di Hospital Mayapada, Tangerang.
Berita baik itu diketahui ramai melalui kemas kini Pinkan di Instagram semalam dan hari ini.
Beragama Kristian Protestan, Pinkan mencatat: “Puji Tuhan Yesus Kristus telah lahir ke dunia bayi perempuan kami Queen Chara Wantania pada tanggal 17 Juni 2015 jam 03.30 WIB dengan berat badan 2.975kg dan panjang 49cm. God bless you (Kel. Steve & Pinkan Mambo Wantania)
Hari ini Pinkan memuat naik gambar dirinya, suami, Steve Wantania dan bayi mereka.
Khabar kehamilan Pinkan mula dihebahkan penyanyi iu sendiri pada Disember lalu. Ketika itu dia sedang menyanyi di tepi jalan di kawasan Walk of Fame di Beverly Hills, California, AS.
Gambar itu menarik perhatian ramai dengan sesetengah pihak menganggap Pinkan menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa menjadi penyanyi jalanan.
Namun dia menafikannya. Kata Pinkan setelah berkahwin dengan jurugambar penerbit video Wantania, mereka tidak menghadapi masalah hidup di Los Angeles.
Kata Pinkan, dia menyanyi di tepi jalan sebagai salah satu cara mempromosi diri sendiri untuk berjaya di peringkat antarabangsa.
“Saya mahu mencapai impian merakamkan lagu dengan syarikat di AS atau mana-mana negara dunia supaya saya lebih dikenali,” kata penyanyi kelahiran Manado, Sulawesi itu.
Sebelum menganggotai kumpulan Ratu bersama Maia Ahmad, Pinkan adalah penyanyi latar kumpulan Dewa 19.
Dia meninggalkan Ratu pada akhir 2004 untuk menjadi penyanyi solo.

