Penyayi Ayat-ayat Cinta, Rossa, meraikan kedatangan Ramadan dengan ciptaan rekaan istimewa loket khas berkalimah Allah.

Kesempatan itu diberikan syarikat berlian Adelle Jewellery.

Rekaan itu kemudian akan dilelong dan wang yang diperoleh akan disumbangkan kepada Yayasan Kasih Anak Kanser Indonesia dan Yayasan Tungga Dewi.

Ditemui media, Rossa berkata kedatangan Ramadan membuka peluang untuknya mencari keberkatan melalui sumbangan kepada dua badan amal berkenaan.

Bidang rekaan barang kemas adalah sesuatu yang baru untuk Rossa. Justeru penyanyi jelita itu mengakui berdepan kesukaran kerana mahu memastikan rekaannnya benar-benar istimewa.

"Ini kali pertama dan saya mahu hasilkan yang terbaik," katanya.

Selain berkalimah Allah, loket  itu juga dicipta dengan hiasan berlian yang banyak manakala di belakangnya mempunyai tanda tangan Rossa.

Sementara itu Adelle Jewellery berkata Rossa dipilih kerana selebriti tersebut dianggap cukup Islamik dan bebas daripada berita negatif.

Rossa juga, pada pandangan Adelle Jewellery, boleh dianggap artis kebanggan Indonesia.

Loket ciptaan Rossa akan dilelong pada 27 dan 28 Jun ini di Hotel Trans Studio dengan harga bidaan pembukaan Rp20 juta (RM5,610).