Sebahagian artis memilih untuk berehat daripada kesibukan mengisi jemputan untuk sementara waktu sempena Ramadan,

Antara mereka ialah pasangan Datuk M Nasir dan Datin Marlia Musa yang ditemui ketika bersama-sama meraikan kanak-kanak penghuni rumah kebajikan di Kuala Lumpur semalam.

Ketika ditemui, M Nasir berkata konsert jelajah solo pertamanya 'berehat' seketika sebagai menghormati Ramadan sebelum disambung semula selepas Aidilfitri.

“Lepas raya akan sambung jelajah iaitu 7 September di Pulau Pinang dan 4 November di Shah Alam,” katanya.

Bagi pelakon dan pengacara Neelofa dia juga mengurangkan kemunculan di depan kamera sepanjang Ramadan ini namun itu tidak bermakna dia merehatkan bisnes tudungnya.

“Untuk Raya saya mengeluarkan sembilan koleksi terbaru, tidak temasuk Zalora yang baru saja lepas pelancaran.

"Khusus untuk Ramadhan pula ada koleksi jubah Naelofar," katanya.

Untuk jadual di depan kamera, Neelofa berkata, dia hanya menerima tawaran menjadi hos program Meletop di Astro.

Seorang lagi artis yang turut melebarkan sayapnya dalam bidang fesyen yang dikenali sebagai label Arata dan Streetfrat, Ryzal Jaafar pula bertambah sibuk dengan perniagaannya itu apatah lagi koleksi Arata yang dikeluarkan amat bersesuaian dijadikan pakaian raya.

“Berlakon tiada buat masa ini. Kali terakhir muncul sebagai pelakon undangan untuk drama TV3, Kias Ramadan," katanya.

Ketiga-tiga selebriti itu ditemui ketika menjayakan majlis berbuka puasa bersama 70 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Lambaian Kasih Sungai Penchala yang berlangsung di the Royal Chulan Damansara semalam.

Turut memeriahkan majlis, Datuk Aznil Nawawi, Rozita Che Wan dan pasangannya Zain Saidin, Hafiz Hamidun dan Bob Yusof.