Kegigihan Yuna Zarai mencipta nama di persada seni antarabangsa tidak terhad dalam nyanyian saja. Kini penyanyi itu kini dilihat semakin aktif memperluaskan pasaran fesyen labelnya apabila membuka gerai di Los Angeles, AS semalam.

Gerai Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai itu dibuka sepanjang hari di sebuah kompleks beli-belah Butik Runway berhampiran S La Brea, California.

Menurut Yuna dalam akaun Twitter yunamusic pagi tadi: “Ia sudah bermula! @14Novbyyuna dibuka! Datang dan lepak dengan saya di Runway @ S La Brea.”

Pada Tweet itu, Yuna turut melampirkan pautan akaun Instagramnya yunamusic bersama gambar yang memperlihatkan seorang pelanggan sedang membelek pakaian di butik berkenaan. Ia mencatatkan lebih 3,411 likes hingga kini.

Minat artis negara berusia 29 tahun itu dalam fesyen mula diketahui umum sejak dia menubuhkan butik pakaian November Culture di Subang Jaya.

Sekitar 2013, Yuna yang semakin rancak menguruskan empayar perniagaan miliknya itu mula menubuhkan perusahaan dalam talian 14NovbyYuna yang turut beroperasi di bawah butik November Culture.

Label 14NovbyYuna mengetengahkan rekaan kotemporari berkualiti tinggi diilhamkan oleh gaya penyanyi itu sendiri.

Selain pakaian, Yuna tidak ketinggalan untuk melahirkan kreativitinya menerusi aksesori buatan tangan menggunakan paduan item berkualiti tinggi seperti kristal, batu, rantai  dan gelang bersalut emas 17 karat.

Ini bukan pertama kali Yuna membuka gerai sebegitu. Sebelum ini dia pernah membuka gerai begitu di Reed Space di Orchard Street, New York.