Walaupun sesetengah pihak tidak menyenanginya, bagi Rozita Che Wan, setiap kata-kata yang keluar dari mulut Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya adalah 'madah' demi kebaikan negara.

Ditemui Malaysiakini , Rozita berkata, dia memang menyokong bekas perdana menteri itu secara terbuka dalam beberapa isu melibatkan isu nasional.

Ditanya mengapa beliau memilih Dr Mahathir, selebriti yang kadang-kadang dikenali sebagai Che Ta itu berkata, jasa dan pengorbanan yang dia lakukan Dr Mahathir selama ini menjadi sebab dia yakin untuk berada di belakang ahli politik veteran itu.

“Dari kita bukan sesiapa hingga dikenali di mata dunia, ia satu pencapaian yang luar biasa. Hal itu boleh dilihat apabila saya ke luar negara dan orang bertanyakan mengenai Malaysia, pasti mereka menyebut Dr Mahathir. Saya turut berasa bangga dengannya,” kata Rozita.

Katanya, walaupun sibuk menguruskan rumah tangga, dia tetap mengikuti dan mengambil tahu hal semasa.

Menurut pemilik Padusi Production Sdn Bhd itu, status sebagai artis tidak menghalangnya mengikuti perjalanan politik dalam negara tanpa jemu.

"Saya sentiasa bersama dan menyokong Dr Mahathir dalam perjuangannnya itu," katanya.

Sebelum ini, Rozita adalah antara artis negara yang menyatakan sokongan secara terbuka dalam pertikaian membabitkan Dr Mahathir dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Seorang lagi artis yang menyebelahi Dr Mahathir ialah Datuk Siti Nurhaliza.

Sementara itu suami Rozita, Zain Saidin pula berkata, walaupun memahami rasa bimbang Dr Mahathir, dia tetap bersimpati kepada situasi dialami Najib kerana terpaksa berdepan dengan realiti teknologi semasa.

“Najib menjadi perdana menteri pada zaman susah, zaman berteknologi. Setiap langkahnya perlu dijaga kerana hal yang kecil pun rakyat boleh pertikaikan,” katanya.

Katanya, tindakan Dr Mahathir bertanya soalan mengenai apa-apa isu semasa tidak boleh dipersalahkan dan jawapan kepada pertanyaan itu memang dinantikan setiap rakyat.

“Tak salah Dr Mahathir tanya soalan untuk rakyat. Beliau memainkan peranan seolah-olah wakil rakyat. Bila beliau bertanyakan sesuatu, rakyat berhak tahu dan dengar,” kata pelakon siri Oh My English itu.