Bon Jovi datang menggegar selepas 20 tahun
Sekali lagi Bon Jovi bakal menggegarkan Stadium Merdeka dengan konsert kedua selepas melakukannya untuk peminat mereka 20 tahun lalu.
Pernah dinobatkan sebagai ikon muzik rock AS, kumpulan rock legenda itu memang pernah melakar pelbagai kejayaan dalam tempoh lebih 30 tahun.
Kumpulan yang ditubuhkan sejak 1983 itu dianggotai oleh Jon Bon Jovi sebagai vokalis, David Bryan bermain piano dan keyboard, Tico Torres dram dan pemain gitar jemputan sejak 2013, Phil X yang secara rasminya menggantikan Richie Sambora.
Konsert itu berlangsung pada 19 September ini tetapi tiket sudah mula dijual sejak awal bulan ini.
Dalam konsert itu nanti peminat boleh menikmati pelbagai lagu popular Bon Jovi seperti Livin' On A Prayer, You Give Love A Bad Name, It's My Life, Have A Nice Day dan lagu yang memenangi anugerah Grammy, Who Says You Can't Go Home.
Bon Jovi pernah mencatat jualan album sebanyak lebih 130 juta unit, mengadakan 2,900 persembahan, mempunyai senarai lagu hit yang tidak pernah putus dan diketuai satu daripada penyanyi terulung dalam muzik rock.
Penganjur IMC Live Group berkata tiket dijual pada harga RM168, RM288, RM388, RM488, RM628 dan RM888.

