Demi patriotisme KRU melabur untuk Bukit Kepong
Polis Diraja Malaysia (PDRM) memeterai memorandum persefahaman dengan kumpulan KRU sempena tayangan filem Bukit Kepong versi digital berdefinisi tinggi menjelang sambutan bulan kemerdekaan ke-58.
Kerjasama strategik itu membolehkan sebahagian kutipan amal tayangan perdana dan tayangan filem Bukit Kepong disalurkan ke Tabung Kebajikan PDRM.
Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata filem itu akan diedarkan dengan kerjasama PDRM semasa bulan kemerdekaan.
"Ia bukan untuk promosi saja, tetapi separuh kutipan akan disalurkan kepada badan kebajikan yang dipilih PDRM,” katanya.
Filem Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsuddin diterbitkan pada 1981 mengisahkan konflik negara di zaman penjajah.
Disebabkan ia sudah lama KRU berpendapat generasi muda mungkin tidak dapat membayangkan apa yang pernah berlaku di negara ini dahulu.
“Filem ini sesuai untuk generasi kini. Ia mampu menimbulkan semangat patriotisme," katanya.
Norman berkata, demi memulihara sejarah dan mendukung semangat cintakan negara, anak syarikat KRU International Sdn Bhd, United Studios Sdn Bhd terpanggil untuk melabur dan memasarkan filem Bukit Kepong di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Untuk memindahkan versi asal ke digital, satu lagi anak syarikat KRU, Prodigital Lab Sdn Bhd bertanggungjawab menjalankannya walaupun berdepan kesukaran selama tiga bulan.
Kerja dijalankan Prodigital saja menelan belanja sekurang-kurangnya RM100,000.
“Kos dan tempoh proses digital remastering bergantung kepada kondisi filem. Ketika kami menerima Bukit Kepong dalam format filem negatif 35mm, ia tidak berada dalam keadaan begitu baik.
“Keadaannya melekat dan tidak boleh diimbas. Ia perlu melalui beberapa proses dalam makmal bagi membersihkannya dengan bahan kimia. Proses ini agak rumit hingga ia mengambil masa yang lama,” kata Archie Nasution, Ketua Pegawai Eksekutif Prodigital Lab.
Dari segi audio pula, ia dipertingkatkan melalui proses adunan semula sistem bunyi mono ke stereo, suntingan penyelarasan lipsync audio asal dengan visual, pengurangan bunyi dan menambah kesan khas bunyi.

