Ketua Polis Negara memasang harapan untuk melihat Polis Diraja Malaysia melahirkan sendiri filem genre aksi untuk didedikasikan kepada anggota polis yang berkorban menjaga keamanan negara.
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, orang muda memang gemarkan filem aksi dan ada banyak kisah bersejarah yang boleh dihasilkan untuk golongan berkenaan sambil membawa mesej mengenai sumbangan anggota polis.
“Semangat patriotism di kalangan generasi muda perlu dipupuk supaya mereka benar-benar mengerti makna kemerdekaan,” katanya di majlis menandatangani memorandum persefahaman untuk penerbitan filem Bukit Kepong antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kumpulan Syarikat KRU di Bukit Aman semalam.
Bukit Kepong mengisahkan perjuangan masyarakat melawan komunis di Johor pada 1951.
Filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin itu pernah memenangi lapan anugerah dalam Festival Filem Malaysia, termasuk kategori filem terbaik.
Ia juga dianggap filem paling mahal kos pembuatannya pada dekad 80-an iaitu RM1.3 juta.
