Jika tentera bersekutu menggunakan peluru dan belerang untuk menghadapi militan Negara Islam (IS), Helly Luv memilih muzik.

Dengan kasut bertumit tinggi, berpakaian celoreng dan rambut merah, wanita dari Urminia di Iran ini lahir dengan nama Hellen Abdulla oleh pasangan suami isteri Kurdis.

Ketika Perang Teluk tercetus pada 1980-an, Luv dan keluarganya menjadi pelarian dan menuju ke Turki untuk mencari perlindugan.

Realiti hidup di negara orang memaksa Luv menjadi pengemis di jalanan demi sesuap rezeki.

Selepas beberapa ketika mereka sekeluarga berhijrah lagi. Kali ini ke Finland dan di situlah Luv membesar.

Di negara itu Luv menunjukkan minat mendalam kepada tarian dan muzik sehingga mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran ke sekolah tarian di Finland.

Malah Luv juga sempat menandatangani kontrak lima tahun dengan Nike Women.

Ketika berusia 18 tahun, Luv bertindak lebih nekad. Menyedari dia perlu berhijrah lagi mencari tapak baru, Luv mengumpul wang untuk membolehkannya pergi ke Los Angeles.

Mungkin tempat yang ditujunya sudah betul, namun ia tidak semudah yang dijangka.

Berdepan hidup serba pantas dan mahal, Luv terpaksa bergelut untuk hidup. Mencukupkan wang untuk makan dan tempat tinggal pun kadang-kadang tidak ada.

Di saat dia hampir berputus asa tuah pun datang. Seorang penerbit menghubungi melalui laman MySpace dan menawarkan uji bakat melalui telefon.

Tuah datang lagi. Uji bakat itu berjaya dan Luv diberi wang secukupnya untuk membolehkan dia terbang pula ke New York.

Sejak detik itu, Luv mula menapak kejayaan dan pada 2013 dia melakar nama di peringkat antarabangsa untuk kali petrama dengan penerbitan video muzik pertamanya, Risk It All.

Sebaik saja video itu menjadi viral, Luv menerima ancaman bunuh daripada pelbagai pelampau agama yang melihat ia sebagai mencabar pengaruh mereka.

Anggap diri peshmerga

“Mesej yang ingin saya sebarkan ialah, kami sebagai etnik Kurdis perlu memperjudikan segala-galanya untuk mencapai impian dan berjuang demi negara,” katanya.

Walaupun dibayangi maut, Luv, 26, tidak mengalah atau mengendur, sebaliknya dia semakin nekad menonjolkan warisan Kurdisnya melalui klip terbaru, Revolution yang membawa cabaran langsung kepada militan IS.

“Saya mahu menunjukkan kepada dunia apakah yang dimaksudkan tentera peshmerga (militia Kurdis) dan siapa pula IS,” katanya.

Luv memang bukan bercakap saja. Dia membuktikan bahawa apa yang dikatakan adalah serius.

Dia baru-baru ini melawat pangkalan peshmerga yang berperang menghadapi IS yang pernah menguasai sebahagian besar Iraq pada tahun lalu.

Klip video terbarunya pula dirakamkan di kawasan al-Khazr yang tidak jauh dari medan pertempuran.  

“Saya mahu menyumbang sesuatu kepada peshmerga kerana saya menganggap saya adalah sebahagian daripada mereka,” katanya.