Pelakon yang memegang watak Sam Witwicky dalam Transformers, Shia LaBeouf dimasukkan ke hospital selepas tersalah percaturan semasa melakonkan aksi lagak ngeri semalam.
Agaknya nasib tidak menyebelahi LaBeouf kerana ketika melakukan penggambaran filem American Honey, dia perlu meletakkan kepalanya di celah tingkap kaca.
Berlaku kesilapan teknik dan dia mengalami kecederaan agak teruk.
LaBeouf dan nasib malang memang bukan perkara aneh.
Sebelum ini dia tampil depan khalayak ramai di tayangan pratonton Nymphomaniac arahan Lars von Trier di Festival Filem Berlin dengan memakai beg kertas menutupi kepala dan bertulis: “Saya tidak terkenal lagi.”
Dia berbuat demikian selepas didakwa terbabit dalam beberapa siri isu plagiat karya, termasuk Daniel Clowes bagi filem pendeknya HowardCantour.com.
Pelakon yang pernah menganggap dirinya sudah hilang glamor itu juga mendakwa seluruh kehidupannya hanyalah satu ‘seni persembahan.’
Namun, apa yang jelas kemalangan semalam kemugkinan besar bukan kemahuan LaBeouf meraih publisiti murahan.
Sebaliknya jika benar dia mahu perhatian, membiarkan kepala mendapat 13 jahitan barangkali bukan aksi yang berbaloi untuk dilakukan.
Sementara itu ejen LaBeouf memberitahu, aktor tersebut hanya mengalami kecederaan ringan, sudah dibenarkan keluar dari hospital dan dijangka kembali ke lokasi penggambaran hari ini.
