Selepas 14 tahun, kumpulan Mega merancang untuk membuat kemunculan semula dalam dunia muzik tanah air
Dan kemunculan itu pula dirancang tidak sembarangan, tetapi dengan matlamat mencipta nama dalam Malaysia Book of Records.
Ditemui Malaysiakini , kumpulan yang namanya tidak asing lagi di pada era 1990-an dengan muzik rock itu berkata, mereka mahu melepaskan rindu buat peminat dengan membuat comeback.
Vokalis Mega, Sham ( gambar ) berkata, album Mega 2015 itu akan dilancarkan dalam persembahan pentas di Bera, Pahang September ini dengan kehadiran 1,000 penunggang motosikal - berkuasa tinggi atau rendah.
Katanya, acara itu mendapat kerjasama daripada kumpulan penunggang motosikal Tebuan Desa.
Sham yang juga Presiden Tebuan Desa berkata, kemunculan album terbaru mereka itu nanti bukan dengan tangan kosong, sebaliknya diisi dengan mesej untuk golongan tertentu.
“Kami ingin menarik pelumba haram yang suka dengar muzik rock. Kami mahu mengeratkan ukhwah dengan golongan ini dan ubah haluan mereka,” kata Sham di majlis bukan puasa bersama anak yatim di Kelab Golf Darul Ehsan, Ampang semalam.
Lagu nafas baru
Keterujaan Mega itu tidak terhad kepada pembaharuan dalam konsep yang akan dibawa, malahan mereka juga dilihat melakukan transformasi apabila mengangkat Sham - bekas anggota kumpulan Dimensi - sebagai vokalis baru menggantikan Rahmat.
Sham akan bergandingan dengan anggota asal Mega, iaitu pemain dram Joey, Adi (gitar), Sam (bass) dan Adan (keyboard).
Walaupun usia semua anggota Mega mencecah 50-an, namun semangat mereka dilihat tidak pudar.
Melalui album baru itu nanti Mega menampilkan muzik yang pelbagai, termasuk pop rock, metal jazz, jazz rock dan blues.
Daripada 10 lagu yang dimuatkan tujuh adalah ciptaan baru, manakala selebihnya lagu yang pernah membawa Mega dikenali peminat iaitu Pudar, Bayangan Gurauan dan Sekuntum Bunga Sakura Di Gurun Sahara.
Semua lagu itu, kata Sham, ditampilkan dengan pembaharuan dan nafas baru.
Mengenai sambutan peminat, Sham berkata, mereka yakin ia tidak akan mengecewakan.
