Sudah enam tahun Michael Jackson menghembus nafas terakhirnya dalam kematian mengejutkan tetapi bagi peminat, peristiwa itu bagaikan baru terjadi semalam.
Media melaporkan sambutan memperingati Raja Pop itu bukan saja mengisi ruang siaran di radio malahan media sosial juga dijadikan tempat meluahkan perasaan peminat.
Sebuah kumpulan acapella Pentatonix misalnya muncul dengan 25 mashup Jackson di YouTube dan ditonton lebih tiga juta orang.
Bagi peminat lain, mereka melawat tapak perkuburan Jackson di Forest Lawn, Hollywood Hills.
Satu laman web - Sekuntum Bunga Untuk Michael Jackson - juga dibuka bagi membolehkan peminat dari seluruh dunia membeli bunga menerusi PayPal dan memuat naik mesej memperingati penyanyi itu.
Dunia Twitter pula menunjukkan hashtag #6YearsWithoutMichaelJackson menjadi trending dan digunakan lebih 263 juta kali.
Jackson ditemui tidak bernafas pada 25 Jun 2009 di Los Angeles, California dan siasatan mendapati wujud kandungan propofol (sejenis ubat penahan sakit) berlebihan dalam badannya.
