Tajuknya Redha, maka tentulah aksi yang terkandung dalam filem itu sebaiknya dihasilkan dengan berhati-hati.

Maka untuk adegan bersentuhan antara watak suami dan isteri, akan ada masalah kepada Nam Ron, 46, atau nama sebenarnya Shahili Abdan jika watak isterinya bukan mahram.

 

Justeru pengarah Redha Beautiful Pain, Tunku Mona Riza yang memang mahukan Nam Ron membawa watak utama filemnya ada penyelesaian mudah – mengajak isteri aktor itu sendiri sebagai pasangannya.

 

Selepas bekerjasama dalam telemovie terbita Astro, Parit Jawa, sebelum ini Tunku Mona Riza tahu benar Nam Ron adalah pelakon yang sesuai untuk membawa watak Razlan.

 

Isteri Nam Ron, Junainah pula dirancang membawa watak isteri Razlan, Alina, yang mengalami tekanan perasaan dan kemurungan.

 

Pasangan suami isteri itu bersama-sama membesarkan seorang anak austistik.

Masalahnya, Junainah keberatan. Antara lain, kerana  kekecewaannya dalam dunia seni, terutama seni tari moden, yang diceburinya sebelum itu.

Rugi kalau tak buat

Kata Nam Ron, masalah yang dihadapi Alina memerlukan Razlan sering bersentuhan dan ia boleh menyentuh sensitiviti jika watak itu dibawa wanita yang bukan isteri sebenarnya.

 

“Ini projek besar sebab kita sudah lama tidak ada cerita yang memberi motivasi dan inspirasi pada umum.

 

“Rugi kalau tidak buat. Ini projek istimewa. Dalam banyak-banyak filem, hanya satu macam ini,” katanya.

 

Maka bagaikan menjadi ‘tugas tambahan’ untuk Nam Ron memujuk Junainah – bekas penari – untuk bersetuju berlakon bersamanya.

 

Maka selepas perbincangan dilakukan, Junainah akhirnya bersetuju.

Maka terhasillah Redha Beautiful Pain yang baru siap penggambarannya kira-kira tiga minggu lalu.

Sebenarnya, kata Nam Ron, pembabitan Junainah sebagai Alina bukan sekadar memenuhi keperluan keserasian, tetapi juga menjaga sensitiviti.