Selain mencipta nama sebagai jaguh di padang bola sepak, pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kelantan dilihat melebarkan pengaruh melalui bidang filem.

Ini berikutan kedua-dua pihak dilaporkan sedang sibuk dalam menyiapkan filem masing-masing untuk dinikmati orang ramai.

Bagaimanapun, ketika sebelah pihak sudah menyiapkan sebahagian daripada proses itu, pihak yang lain baru mencari bakat pelakon yang sesuai untuk melengkapkan produksi mereka.

Hasil semakan akaun Instagram JDTThemovie, proses pembikinian sedang di peringkat menyaring bakat sesuai.

Difahamkan, filem tersebut akan berkisarkan dunia bola sepak dan diarahkan oleh sutradara terkenal Ahmad Idham.

Sesi ujibakat pencarian pelakon berlangsung pada 13 Jun lalu di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Kelantan yang membawa gelaran The Red Warriors akan muncul melalui filem Jejak Warriors dan dijadualkan ditayangkan 27 Ogos ini.

Filem arahan Saw Teong Hin itu bukanlah berkisar mengenai kehebatan pasukan bola sepak Kelantan secara langsung, sebaliknya pengembaraan anak muda bagi memenuhi cita-cita arwah ayahnya untuk bertemu dengan pasukan bola sepak diminati.

Namun, apa yang lebih menarik ialah, filem tersebut menampilkan lima pemain pasukan TRW iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Fakhri Saarani, Mohd Fitri Omar, Wan Zaharulnizam dan Wan Zack Haikal.

Selain itu, filem yang menampilkan Mohd Aliff Firdaus sebagai watak utama itu turut dibintangi pelakon popular tempatan seperti Pekin Ibrahim, Nadiya Nissa, Amir Raja Lawak dan Allahyarham Harun Salim Bachik.

Jejak Warriors yang menggunakan dialek Kelantan itu disifatkan sebagai sebuah dongeng moden dan kontemporari yang diadun dengan elemen fantasi tersendiri serta sarat dengan moral dan pengajaran.