"Saya bimbang," begitu jawapan Amy Search ketika ditanya mengenai keadaan semasa dalam negara, termasuk mengenai cukai barangan dan perkhidmatan yang mula dikuatkuasakan 1 April lalu.
Rupa-rupanya di sebalik kesibukan melakukan aktiviti sehariannya ternyata legenda rock itu begitu sedar apa yang sedang melanda negara ini, seperti kenaikan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat.
Malah, kata Amy, selama 57 tahun hidup keresahan itu tidak pernah dirasakannya sehinggalah sekarang.
“Ya, saya sebagai seorang bapa, dah 57 tahun saya hidup. Saya rasa semua rakyat Malaysia resah.
“Saya sendiri pun resah. Saya tidak pernah rasa seresah ini selama 57 tahun hidup. Resah untuk masa depan anak cucu nanti,” katanya ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman mengakui antara isu yang difikirkannya sekarang ialah tentang kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.
Beliau yang masih aktif menyanyi berkata keadaan ekonomi sekarang memang membawa musibahnya untuk golongan yang mencari makan dalam dunia hiburan.
Katanya, keadaan itu juga membuatkan penjualan tiket konsert bermasalah selain turut memberi kesan dalam penjualan album.
Amy adalah sebahagian daripada artis popular yang mudah memberi reaksi kepada situasi semasa negara, termasuk melalui Instagram.
Sikap berterus-terang itu menjadikan beliau selebriti yang lebih dihormati.
Amy juga dilihat bersikap terbuka dalam politik apabila tidak membataskan pergaulannya dengan mana-mana pihak berdasarkan kepada fahaman kepartian.
Amy mempunyai lima orang anak dan seorang cucu.
Kata Amy, sebagai kumpulan rock tanahair yang masih aktif, Search masih mengadakan konsert sekali dua dalam setahun.
“Kami bernasib baik kerana sudah melalui zaman penjualan album. Generasi kini ada yang tidak berpeluang merasai pengalaman itu.
“Walaupun boleh dikatakan terjejas, tetapi kami bersyukur dapat bertahan dengan adanya beberapa lagu yang menjadi hit. Jika tidak, memang ia sukar,” katanya.
