Al-Bayan pusat tahfiz kian merendang
Rock, rock juga tapi pada akhirnya ia bukanlah segala-galanya.
Itu yang dibuktikan oleh Amy Search yang membiayai sebuah sekolah tahfiz selepas niat untuk membukanya terpahat di hati kira-kira lima tahun lalu.
Pada masa sama, dia memang dilihat sebagai seorang penyanyi rock yang biasanya jarang terbabit dalam aktiviti keagamaan.
Namun itulah cabaran dihadapi Amy.
Dengan semangat dan kesungguhan dia pun membuka sekolah tahfiz Al-Bayan School of Quran and Hadith.
Bagi penyanyi berusia 57 tahun itu, tanggapan sedemikian tidak membebankannya kerana mengusahakan sesuatu hingga berjaya dianggap lebih penting
Namun begitu, halangan memang ada.
Kata Amy, untuk berjaya asas yang perlu ada ialah kesungguhan tanpa mengenal jemu dan hasilnya dapat dilihat baru-baru ini apabila pusat pengajian berkenaan mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Agama Islam Selangor baru-baru ini.
“Hidup ni satu cabaran, bergantung pada apa kita nak buat dalam hidup. Bila saya buat benda baik saya harap orang tidak campur aduk dengan benda negatif.
Tak besar cuma sederhana
“Saya hanya nak tumpukan perhatian pada sekolah ini agar ia menjadi antara yang terbaik,” katanya kepada Malaysiakini .
Sebelum rezeki itu menjadi milik Amy, dia ditakdirkan menghadapi halangan untuk merealisasikan impiannya.
“Patutnya lima tahun lalu dah buat di Johor Bahru tetapi ada sesuatu tidak dapat dielakkan yang terjadi kepada simpanan. Allah tarik balik wang itu.
“Saya banyak bersabar dan berdoa, ahamdulillah akhirnya ia berjalan lancar,” katanya.
Selain menggunakan wang hasil titik peluh Amy pusat pengajian itu turut dibantu oleh beberapa sahabat lain.
“Ia bukan sekolah besar, sederhana. Buat masa ini 18 orang saja tetapi ada ramai yang nak masuk. Insya-Allah akan ada kemasukan baru hujung tahun ni,” katanya.

