Selepas beberapa bulan tersebar spekulasi mengenai status hubungan 'Bennifer 2.0', akhirnya pasangan Ben Affleck dan Jennifer Garner secara rasmi mengumumkan perpisahan yang menamatkan rumah tangga yang dibina sejak 10 tahun lalu.

 “Selepas difikir dengan teliti dan berhati-hati, kami membuat keputusan sukar untuk berpisah.

“Kami akan terus menyayangi satu sama lain dan bergilir-gilir melaksanakan tanggungjawab untuk membesarkan anak.

“Kami harap privasi dihormati ketika masa ini. Terima kasih kerana memahami,” kata pasangan itu dalam kenyataan bersama semalam.

Berita itu diumumkan sehari selepas ulang tahun perkahwinan Bennifer pada 29 Jun lalu. Sebelum ini, media tidak berhenti-henti menggembar-gemburkan cerita perkahwinan pasangan ini hingga menjadi viral.

Sepanjang 10 tahun perkahwinan, mereka memperoleh tiga anak, Violet 9, Seraphina, 6, dan Samuel, 3.

Jennifer sebelum ini pernah berkata, hubungan mereka sudah tidak berada di fasa bahagia, tetapi dia boleh menanganinya.

“Kamu tidak boleh mengharapkan untuk kekal berpasangan setiap masa. Saya tidak mahu mengejar itu sekarang – saya penat!

“Tetapi kami boleh mengatasinya dengan berusaha untuk bersama dan melakukan perkara sama dan menyayangi satu sama lain,” katanya dalam wawancara oleh InStyle tahun 2014.

Banyak perkara terbabas

Bagi Affleck pula, dia sering berpendapat Jennifer itu pelengkap dirinya selepas menjadi buruan tabloid selama beberapa tahun ekoran perpisahannya dengan Jennifer Lopez pada 2004.

Kata Affleck, isterinya tidak pernah jauh darinya ketika itu. Semenjak mengenali wanita itu, hidupnya banyak berubah.

“Dia mengubah hidup saya hingga saya berani untuk menjayakan Hollywoodland. Kemudian, mengarahkan Gone Baby Gone, Itu langkah seterusnya yang perlu saya ambil untuk berjaya,” katanya kepada media pada 2013.

Kata Jennifer kepada InStyle pada 2013 lagi, dia tahu banyak perkara akan terbatas apabila tidak bersama lagi.

“Dia begitu bijak menyatakan bagaimana dia suka apa yang saya lakukan. Jujurnya, saya akan berbuat apa saja untuk lelaki itu, kerana saya tahu dia tidak patut disia-siakan," katanya.

Cinta mereka bersemi untuk kali pertama ketika kedua-duanya  menjayakan penggambaran filem Peal Harbor pada 2001. Mereka bertemu kembali pada 2003 melalui filem Daredevil dan terus berpacaran selepas itu.