Umrah ajar Slank jadi penyabar
Biasanya tampil dengan semangat muda dan meletup-letup, umrah menjadikan anggota kumpulan band Slank lebih penyabar dan tidak mudah melatah.
Pemain dram Slank, Bimbim berkata, sifat liar dan degil yang selama ini sebati dengan mereka seakan terhakis selama berada di tanah suci.
"Malah kami jadi lebih penyabar, terutama ketika menunggu giliran mencium batu Hajar Aswad," katanya.
Pemuzik kelahiran Jakarta 48 tahun itu berkata, melihat keadaan berebut-rebut itu mereka akhirnya mengalah dan enggan memaksa diri mencium Hajar Aswad berkenaan.
Pemuzik yang memiliki nama sebenar Bimo Setiawan Almachzumi berkata, volakis kumpulan itu juga melalui pengalaman hampir sama di Makkah.
"Kaka sedang cuba mengucup Hajar Aswad namun ada orang menghalaunya.
"Tak mahu dipengaruhi emosi, Kaka langsung berundur dan mengalah," katanya.
Menurut Kaka pula, mereka memilih untuk lebih bersabar kerana tahu tujuan mereka berada di tanah suci adalah mencari ketenangan hidup.

