Selepas muncul kali pertama pada 1984, siri Terminator datang lagi - untuk kali kelima - dengan pelbagai adegan lebih menarik melalui Terminator Genisys.

Kali terakhir siri francais filem ini ditayangkan ialah pada 2009 melalui Terminator Salvation yang berakhir dengan termusnahnya Skynet, sebuah sistem artficial intelligence (kepintaran buatan) oleh watak utamanya John Connor (Christian Bale).

Selepas enam tahun John Connor muncul lagi tanpa Bale, sebaliknya Jason Clarke.

Walaupun mungkin nama Clarke tidak sebesar Bale, namun penjiwaan watak yang dipaparkannya dalam Terminator Genisys tetap boleh dipuji, terutama keberkesanannya menampilkan watak John Connor sebagai antagonis yang 'menyelamatkan' Skynet.

Rating rendah tapi plot lebih baik

Walaupun filem ini gagal mendapat pujian tinggi dalam ulasan Rotten Tomatoes dan Metacritic, rata-rata peminat setia Terminator memberi reaksi positif dan berpuas hati terhadap produksi kali ini.

Selepas menyaksikan sendiri Terminator Genisys melalui tayangan perdana pada Selasa lalu, saya berpendapat filem ini wajar diberi rating 8.5 daripada 10.

Kebanyakan penonton yang turut serta dalam tayangan tersebut juga kagum dengan jalan cerita Terminator kali ini.

Jika dibandingkan plot cerita Terminator Genisys dengan Terminator Salvation, filem ini sememangnya jauh lebih baik berbanding kerana filem terdahulu lebih menumpukan perhatian terhadap efek CGI daripada plot cerita.

Gabungan plot Terminator Genisys dengan Terminator pertama juga berjaya dijalinkan dengan baik sehingga tidak menjejaskan perkembangan cerita keseluruhan siri filem berkenaan.

Sesuai dengan genre yang dipilih, Terminator Genisys memang kaya dengan kehebatan seni grafik dan efek lebih mengagumkan, serta kombinasi syot adegan dari Terminator pertama (1984) yang tampak memang serupa.

Tidak kurang menariknya, unsur aksi dan lawak slapstick oleh Arnold Schwarzenegger serta dialog terkenalnya, "I'll be back!" .

Untuk kemanusiaan juga dipaparkan melalui watak cyborg T-800 yang dikenali sebagai The Guardian. Ia adalah robot yang ditugaskan untuk melindungi Sarah Connor (Emelia Clarke).

Sifat-sifat kemanusiaan dan kasih sayang ditonjolkan dengan baik semasa T-800 dan Sarah bertemu kembali pada 2017.

Schwarzenegger yang diberi watak cyborg T-800 pada 1984 dihidupkan kembali dalam filem terbaru ini - tetapi dengan wajah lebih tua - untuk berlawan dengan cyborg T-800 yang cuba membunuh Sarah.

Amat menakjubkan apabila kita dapat menonton dengan mengasyikkan riak wajah Schwarzenegger yang muda ketika dia berlawan dengan Schwarzenegger yang lebih tua.

Kembali ke pangkal cerita

Secara ringkas, Terminator Genisys bermula dengan adegan perang cyborg dengan manusia pada 2027, iaitu selepas Skynet dimuatnaik dan mengakibatkan kematian lebih 3 billion orang.

Penentangan umat manusia diketuai John Connor berjaya memusnahkan Skynet melalui Operasi Colorado, tetapi dia tidak sempat menghentikan sistem tersebut daripada menghantar cyborg T-800 kembali pada 1984 untuk membunuh Sarah Connor.

Kyle Reese (Jai Courtney) kemudian menawarkan dirinya kembali ke 1984 untuk melindungi Sarah Connor - plot yang sama seperti dalam Terminator pertama.

Semasa dalam proses penghantaran balik Reese ke tahun tersebut melalui mesin khas, John Connor diserang oleh salah satu cyborg yang menyerupai manusia.

John Connor pada masa itu dimanipulasi oleh Skynet dan dihantar kembali sebelum 2017 dalam Judgment Day (Hari Penghakiman) untuk membina struktur utama Skynet dalam Cyberdyne.

Reese bersama-sama Sarah melangkau ke 2017 dengan bantuan cyborg T-800 untuk memulakan operasi memusnahkan sistem Genisys yang juga dikenali sebagai Skynet.

John Connor cuba menghentikan percubaan mereka untuk memusnahkan sistem itu.

Reese dan Sarah pula hampir terbunuh di jambatan San Francisco tetapi diselamatkan cyborg T-800.

Kyle dan Sarah sebenarnya berjaya memusnahkan sistem rangka utama Genisys dan menghalang proses muat naik Skynet yang menjadi pemacu kepada Judgement Day.

Filem ini mendorong kita melihat kepada diri sendiri - kepada manusia yang kini taasub dengan pelbagai jenis gajet.

Apa yang berlaku dalam Terminator Genisys sebenarnya tidak jauh bezanya dengan keadaan sekarang.

Untuk makluman penonton, anda seeloknya tidak bangkit dari kerusi sebaik saja filem berakhir, sebaliknya tunggulah sehingga senarai kredit ditamatkan, kerana ada sesuatu yang menanti di situ.

Terminator Genisys kini mula ditayangkan di pawagam-pawagam utama seluruh Malaysia.