Peluang 'intim' dengan The Rolling Stones
Selepas puas menghiburkan peminat dengan irama dan lagu kini kumpulan The Rolling Stones akan mengadakan pameran - untuk kali pertama sepanjang 53 tahun penubuhan band itu - di Galeri Saatchi di London.
Cuma, anda jangan terlalu cepat teruja kerana pameran itu tidak akan berlangsung sehinggalah 6 April tahun depan.
Pameran Exhibitionism itu membawa sembilan tema yang dibahagikan di seluruh dua tingkat bangunan berkenaan.
Ia juga memaparkan lebih 500 artifak peribadi anggota kumpulan berkenaan.
Bahan pameran yang mengambil tempoh lebih tiga tahun untuk dikumpulkan itu mengandungi reka bentuk asal pentas, gitar dan alat muzik langka, kelengkapan belakang pentas, runut bunyi dan klip video yang tidak pernah didedahkan kepada orang ramai.
Jurucakap penganjur berkata, turut dipamerkan diari peribadi berserta surat-menyurat anggota The Rolling Stones, poster asal dan persembahan sinematik kumpulan berkenaan.
Idea sudah lama
Produk hasil usahama pereka, artis dan pembikin filem seperti Alexander McQueen, Ossie Clark, Andy Warhol, Tom Stoppard dan Shepard Fairey juga tidak ketinggalan mendapat tempat dalam pameran yang berlangsung sehingga September 2016 itu.
Selepas pameran di London berakhir, kesemua artifak itu akan dibawa 'mengembara' ke 11 bandar raya utama dunia, termasuk New York, Los Angeles dan Tokyo dalam tempoh empat tahun.
Vokalis The Rolling Stones, Mick Jagger berkata, idea untuk mengadakan pameran sebegitu sudah lama difikirkan mereka tetapi ia mengambil masa untuk direalisasikan dengan sempurna.
“Proses ini seperti merancang konsert jelajah dan saya fikir inilah masa terbaik untuk melaksanakannya,” katanya.
Baru-baru ini media melaporkan The Rolling Stones memperoleh pendapatan kasar sehingga lebih £225 juta (RM1.3 bilion) hanya daripada konsert mereka sejak 2012.
Kumpulan itu kemudian mengadakan siri jelajah pada 2012 selepas lima tahun menyepi daripada industri muzik dan beraksi di 30 persembahan di seluruh Eropah dan Amerika Utara.
Kumpulan itu juga mengembara di Asia, Eropah, Australia dan New Zealand tahun lalu.
Bulan lalu pula The Rolling Stones memulakan siri jelajah Zip Code di Amerika Utara yang mengandungi 15 konsert hingga pertengahan Julai.
Menurut Billboard, hasil jualan tiket daripada ketiga-tiga konsert itu ialah £228 juta (RM135 bilion).

