Inilah penangan bintang rock buat persembahan sambil duduk atas kerusi pun masih boleh membuat peminat teruja.

Vokalis Foo Fighters, Dave Grohl tidak akan membiarkan sebelah kakinya yang berbalut jadi penghalang daripada terus mengadakan persembahan di Stadium Memorial Robert F Kennedy di Washington 4 Julai lalu.

Dalam keadaan kakinya bersimen kerana patah, Grohl mampu memberikan persembahan kekal mantap dengan memetik gitar elektrik sambil duduk di atas kerusi yang disediakan khas untuknya.

Persembahan itu adalah yang pertama selepas kejadian Grohl jatuh  hingga mengakibatkan kakin kananya patah ketika konsert Foo Fighters di stadium Ullevi di Sweeden 12 Jun lalu.

Ekoran kecederaan itu, Grohl terpaksa dikejarkan ke hospital namun berupaya kembali beraksi di atas pentas hingga tamat konsert berkenaan.

Namun, beberapa siri konsert di Eropah dan United Kingdom terpaksa dibatalkan, termasuk kemunculan di Festival Glastonbury 2015.

Kecederaan itu juga memaksa Grohl bergantung kepada penopang ketiak selama beberapa minggu untuk bergerak.