Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Lagi rungutan mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Presiden Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi mengakui pelaksanaan sistem cukai GST sejak 1 April lalu memberi kesan besar kepada golongan seniman di negara ini.

Menurutnya kebanyakan artis merasai keperitan akibat kelembapan ekonomi dan ia diburukkan lagi dengan GST yang dianggap membebankan.

"Ekoran pekerjaan sebagai artis tidaklah begitu membantu dari segi kewangan, ada segelintir mereka mencari ikhtiar hidup dengan menjalankan perniagaan, namun dengan adanya GST, ia memburukkan keadaan," katanya.

Zed berpendapat dengan keadaan ekonomi yang meruncing, tidak semua artis boleh menjana pendapatan dengan hanya lakonan atau menyanyi semata-mata.

“Jika GST itu baik, apa yang dapat ia berikan kepada golongan ini?

“Pekerjaan artis tidak mempunyai jaminan. Ia ibarat kasi pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jadi hal begini membebankan terutama kepada artis yang tidak berkemampuan,” katanya ketika dihubungi oleh Malaysiakini.

Menurut Zed, daripada keseluruhan artis yang bergiat dalam bidang hiburan di negara ini hanya kira-kira lima hingga 10 peratus saja yang berkemampuan menjadikan kerjaya itu untuk memenuhi periuk nasi.

Selebihnya, kata Zed, kurang berjaya atau gagal sama sekali.

Golongan itulah, katanya, yang datang kepada SENIMAN dan memohon supaya sesuatu dilakukan untuk mengatasi masalah mereka.

Raya jangan lupa

"Menjadi harapan saya agar GST dikaji semula untuk mengenal pasti faedahnya kepada artis," katanya.

Beliau turut memberi contoh bagaimana pungutan GST itu boleh memberi kelegaan kepada golongan artis - iaitu sebahagian daripada perolehan cukai berkenaan disalurkan untuk membanteras isu cetak rompak lebih berkesan.

“Artis juga dapat terus berkarier dan ada peluang meneruskan pekerjaan mereka,” katanya.

Kata Zed, industri hiburan memerlukan 'ekosistem' yang tepat bagi membolehkan artis meneruskan kehidupan tanpa dibayangi masalah sosial seperti perceraian dan dadah.

"Jika satu ekosistem yang betul tidak wujud, bagaimana nak teruskan kehidupan dan anak seni nak membantu ekonomi?” katanya.

Sementara itu, sempena Aidilfitiri nanti, Zed menjemput semua anak seni tanahair memeriahkan Majlis Hari Raya SENIMAN yang berlangsung mulai jam 3 petang pada 15 Ogos di dataran karyawan Finas, Hulu Kelang.

Lihat Komen
ADS