Sebuah stesen televisyen Maghribi bernasib baik kerana terlepas daripada didenda kerana menyiarkan rancangan mencetuskan kontroversi membabitkan penyanyi Jennifer Lopez.

Siasatan diarahkan ke atas stesen itu selepas Perdana Menteri Abdelilah Benkirane mendakwa penyanyi berasal dari AS itu beraksi mengghairahkan dalam festival yang disiarkan kepada umum menerusi saluran milik kerajaan, 2M.

 “Rancangan berkenaan melanggar undang-undang Maghribi dan hukuman perlu dikenakan ke atas pengurusan stesen 2M,” kata jurucakap kerajaan.

Bagaimanapun, pengawal selia media negara itu mengatakan permintaan berkenaan di luar bidang kuasa mereka.

Penyanyi berusia 46 tahun itu mengadakan persembahan di Festival Muzik Antarabangsa Irama Dunia Mawazine di Rabat pada 29 Mei lalu.

Acara itu segera mencetuskan kontroversi di kalangan media tempatan di negara berkenaan.

Bintang pop AS itu tampil berpakaian pakaian ala perenang dihiasi manik dan berkasut tinggi dalam rancangan yang disiarkan di stesen 2M.

Sehubungan itu Abdelilah menulis surat kepada Presiden Pihak Berkuasa Komunikasi Tinggi Audiovisual (HACA) menggesa pengawal selia media mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak bertanggungjawab.

Bukan kali pertama

 “Pengurusan 2M gagal campurtangan untuk menghentikan babak memalukan apabila konsert itu dilihat disiarkan tanpa sebarang penundaan,” katanya.

Kata Abdelilah, penyanyi  yang juga pelakon itu menunjukkan aksi tidak senonoh selain menimbulkan provokatif ke atas nilai agama dan moral masyarakat Maghribi.

Namun, HACA memutuskan permohonan perdana menteri itu tidak boleh diterima kerana ia tidak terangkum dalam skop kerja pengawal selia media, yang memfokuskan isu berkaitan sektor audiovisual sebagai keseluruhan dan bukan hanya kes tertentu.

Konsert Jennifer di Morocco ini bukan kali pertama buatnya tetapi isu begitu tidak pernah timbul.

Bagaimanapun, persembahan Mei lalu buat julung kalinya disiarkan menerusi tv di negara itu.

Bukan saja Abdelilah ‘terpanggil’ untuk mengambil tindakan, satu kumpulan pendidikan turut menyaman penyanyi terbabit kerana persembahannya itu dengan mendakwa dia mengganggu ketenteraman awam dan menjatuhkan maruah wanita.

Jennifer dan promoternya boleh dikenakan hukuman hingga dua tahun penjara sekiranya disabit kesalahan.