Dalam kesibukan bersiap-siaga menjelang aksi di pentas Summer Sonic di Tokyo Jepun 15 Ogos nanti, Changcuters dilihat pandai mengagihkan masa untuk menghasilkan album baru.

Ia album kedua dari projek trilogi band yang berasal dari Indonesia itu. Album pertama bagi projek berkenaan, Visualis dipasarkan pada 2013.

Menurut pengurus Changcuters Andi Asmawir, proses menggarap album terbaru bermula sejak dua bulan lalu dan mengikut perancangan album berkenaan menampilkan 12 lagu - seperti album perdana mereka.

“Setakat ini lapan lagu sudah dihasilkan, tetapi ia baru dirakam versi demo, belum lagi memasuki studio,” katanya.

Andi menambah, keseluruhan proses pembuatan lagu berkenaan tidak hanya tertumpu di Bandung.

Band yang dianggotai Qibil (vokalis), Alda (gitar), Dipa (bass) dan Erick (dram) turut menghasilkannya di sepanjang jelajah konsert mereka.

“Sasaran kami ia selesai tahun ini,” kata Andi.

Bagaimanapun, judul album berkenaan masih belum ditetapkan.

Album trilogi Changcuters sejak awal dikatakan membawa konsep muzik sebenar kerana ia dihasilkan melalui ramuan masing-masing secara peribadi.

Band itu ditubuhkan pada 2005 dan sebelum ini menghasilkan album Mencoba Sukses (2006), Mencoba Sukses Kembali (2008), Misteri Kalajengking Hitam (2009), dan Tugas Akhir (2011).

Band ini meroket dengan lagu mereka seperti Gila-gilaan, Hijrah ke London dan Racun Dunia selain pernah membintangi filem Tarix Jabrix, Tarix Jabrix 2, dan Tarix Jabrix 3 serta menjadi bintang iklan.