Kak Chah: Bukan hanya kata di kertas kosong
Penulis lirik terkenal Habsah Hassan berpendapat, penguasaan bahasa dan ilmu merupakan asas penting yang perlu ada dalam menghasilkan sebuah lagu yang berkualiti.
Menurut Habsah, untuk menulis sebuah lirik lagu selain memerlukan bakat, seorang penulis perlu mempunyai tahap penguasaan bahasa yang tinggi bagi menghasilkan lirik yang mempunyai nilai estetika serta melahirkan karya yang menyokong tatabahasa.
“Kita kena cari ilmu dan rajin membaca sebab asas penulisan ialah membaca.
“Jika tidak menguasai bahasa, penulisan akan menjadi hambar,” kata Habsah atau lebih mesra dipanggil Kak Chah ketika dihubungi Malaysiakini.
Selain itu, Habsah yang juga seorang penulis skrip berkata, selain penggunaan bahasa, penulis lirik juga harus mendalami ilmu sebaik mungkin dan tidak hanya bergantung kepada satu sumber sahaja.
“Ilmu tidak semestinya diperoleh daripada buku tebal saja, ia boleh didapati daripada memerhati pengalaman orang lain, diri sendiri dan sekeliling,” katanya yang menulis lirik “Merisik Khabar” dendangan allahyarham Sudirman dan “Pulangkan” nyanyian Misha Omar.
Habsah juga berkata, sebuah nukilan yang baik juga perlu mempunyai pengisian yang sempurna kerana lirik bukan hanya kata-kata yang dicurahkan dalam kertas kosong semata-mata.
Kawal bahasa
Sebuah lirik yang bagus merupakan lirik yang dapat memberi kesan dan mampu menyampaikan mesej kepada pendengar, katanya.
Malah, Habsah turut menyamakan untuk menulis lirik ia umpama menulis sebuah sajak yang puitis.
“Tidak kiralah lagu itu melankolik, cinta mahupun patriotik ia harus ada kesan positif pada akhirnya.
“Menulis lirik bagaikan menulis karya seni. Kalau halus maknanya, ia dapat menyentuh perasaan halus manusia,” katanya.
Sehubungan itu, Habsah berkata sekiranya sesebuah lirik itu tidak menyentuh perasaan pendengarnya, maka ia sebuah karya yang gagal.
Seorang penulis lirik perlu membiasakan diri mengawal bahasa terutamanya dari segi penggunaan ayat.
Habsah turut menasihatkan, menulis lirik umpama menulis sebuah ringkasan cerita yang ditulis dalam ayat yang terbatas.
Tetapi, cerita itu lengkap dan ia dapat dilihat dan dibayangkan oleh pendengar, kata Habsah lagi.

