Ada mayat di rumah Demi Moore (dikemaskini)
Polis menemui mayat seorang pemuda di kolam renang di rumah aktres Demi Moore di Los Angeles malam tadi.
Jurucakap Jabatan Polis Los Angeles Barat berkata lelaki yang belum didedahkan identitinya itu berusia 21 tahun dan dipercayai lemas di dalam kolam berkenaan.
Katanya, polis mengesyaki kejadian berlaku ketika sekumpulan orang mengadakan parti di rumah janda Bruce Willis itu.
“Bagaimanapun Demi tiada di rumah ketika kejadian dan polis masih menyiasat siapa yang menganjurkan parti berkenaan,” katanya.
Polis berpendapat parti berkenaan diadakan secara kecil-kecilan.
Jurucakap polis berkata mereka mendapat panggilan kecemasan kira-kira jam 5.30 pagi (waktu tempatan).
“Siasatan awal menunjukkan lelaki terbabit tergelincir ketika seseorang di rumah itu mengadakan parti dan mangsa tidak tahu berenang,” katanya.
Demi, 52, berkahwin kali pertama dengan pemuzik Freddy Moore sebelum rumah tangganya gagal dan membawa dia menjadi isteri Willis pada 1987 hingga 2000.
Identiti dikenal pasti
Hasil perkahwinan kedua itu Demi dan Willis mendapat tiga orang anak.
Sekali lagi Demi bercerai dan berkahwin pula dengan seorang lagi pelakon, Ashton Kutcher, dari 2005 hingga 2013.
Antara lakonan Demi paling diingati ialah sebagai Molly Jensen dalam filem Ghost (1990) dan Erin Grant dalam Striptease (1996).
Sementara itu Demi berkata dia sangat terkejut dengan insiden itu.
Ketika kejadian, katanya, dia berada di luar negara untuk meraikan hari lahir anak perempuannya.
Kata Demi, kehilangan anak adalah tragedi yang sukar untuk digambarkan dan dia bersimpati terhadap keluarga dan rakan pemuda tersebut,
Demi juga berharap agar orang ramai mampu memberi privasi kepada keluarga mangsa.
Polis petang ini mendedahkan identiti pemuda terbabit sebagai Edenilson Steven Valle, 21, yang pergi ke rumah Demi untuk menyertai parti kecil-kecilan diadakan pembantu aktres berkenaan.
Koroner Daerah Los Angeles Fred Corral berkata, mayat Valle ditemui dalam keadaan terapung dan ia dipercayai berada dalam air kira-kira 10 hingga 15 minit.
Polis menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan jenayah sebaliknya menganggap ia sekadar kemalangan.

