Selepas empat tahun hidup sebagai suami isteri, akhirnya pasangan penyanyi lagu country Blake Shelton dan Miranda Lambert membuat keputusan untuk berpisah.

Shelton dan Miranda mengikat tali perkahwinan pada 2011 di Texas selepas lima tahun berpacaran.

Mereka dilaporkan baru saja menyambut ulang tahun perkahwinan keempat Mei lalu.

“Ini bukan kehidupan seterusnya yang kami rancang. Dengan berat hati, kami terpaksa meneruskan kehidupan berasingan. Kami sememangnya ada - dengan kehidupan sebenar - keluarga, kawan dan rakan sekerja yang tetap.

“Jadi kami minta privasi dan belas kasihan mengenai masalah peribadi ini,” kata wakil pasangan berkenaan.

Ini bukan perceraian pertama buat Shelton, 39, yang kini sibuk sebagai juri rancangan realiti televisyen The Voice .

Dia pernah berpisah dengan isteri pertamanya, Kaynette Gerne, pada 2006.

Kecam media sebar khabar angin

Shelton dan Miranda, 31, pasangan yang sentiasa menyokong karier satu sama lain dan sering bersama-sama menghadiri sebarang majlis anugerah.

Shelton memberitahu media tahun lalu, dia mempunyai hadiah istimewa untuk isterinya pada ulang tahun perkahwinan ketiga, serta memastikan wanita itu dapat rehat secukupnya selepas melancarkan album terbaru.

“Saya memandu hingga ke Lake Texoma. Saya mempunyai sebuah bot di sana. Saya bukanlah seorang mekanik, tetapi berjaya menghidupkan benda (bot) ini kerana tahu bila dia balik nanti, dia sememangnya mahu melakukan perkara seperti itu.

“Contohnya terapung di atas air sambil beristirahat atau sebagainya. Jadi saya fikir saya, saya harus memenangi hatinya di samping berjaya menghidupkan bot berkenaan. Dia amat bermakna buat saya,” katanya.

Bagaimanapun, pada 2014, Shelton mengecam media kerana menyebarkan khabar angin mengenai perpisahan mereka.

ia berkata, amat kesal kerana Miranda terpaksa mengharungin detik itu.

Miranda pada Januari lalu sempat menceritakan perkahwinannya dengan mengatakan Shelton sebagai orang yang paling gembira sekali di dunia.

“Dia menolong saya keluar dari kegelapan hidup saya. Pada dasarnya semua pengalaman mengenai perkahwinan adalah perkara terbaik dalam hidup,” katanya.