Alien, Predator di mata Sigourney Weaver
Pelakon Sigourney Weaver mengakui kurang tertarik dengan idea penerbit untuk menggabungkan watak dalam filem sains fiksyen Alien dan Predator menjadi Alien vs Predator .
Sigourney yang memegang watak sebagai Ellen Ripley dalam filem Alien terbitan 1979 dan tiga sekuelnya berkata, idea gabungan itu wujud sebelum Alien 3 ditayangkan pada 1992 lagi dan hal itu membuatnya kecewa.
“Ia benar-benar menyedihkan kerana saya begitu bangga dengan dua filem Alien yang pertama," katanya.
Bagaimanapun, menurut Sigourney perasaan itu bukanlah berkaitan sikapnya yang membenci filem diinspirasikan daripada permainan video.
Pendapat itu sama seperti pendirian pengarah Alien 1986, James Cameron yang mempersoalkan tindakan penghasilan filem seperti itu.
“Kenapa kamu mahu berbuat sedemikian? Ia kelihatan sangat janggal," katanya.
Sigourney yang ditemui ketika berada di London semalam juga mendakwa idea membuat filem Alien vs Predator itu membantutkan hasrat pengarah asal Alien 1979, Ridley Scott daripada kembali menghasilkan siri ketiga.
Pengarah baru ditawarkan
“Sebenarnya, Scott bakal mengarahkan siri ketiga, hinggalah hal ini diumumkan, dan dia terus menarik diri kerana dia mahu membuat sekuel Alien ,” kata Sigourney.
Sigourney kembali beraksi sebagai Ellen dalam Alien 3 pada 1992 dan Alien Resurrection kira-kira lima tahun kemudian. Bagaimanapun kedua-dua filem itu tidak diarahkan Ridley.
Filem Alien vs Predator ditayangkan pada umum pada 2004, diikuti oleh sekuel Alien vs Predator: Requiem pada 2007.
Kini pengarah Elysium dan District 9 Neill Blomkamp mengesahkan dia ditawarkan untuk membuat filem baru Alien.
Sigourney belum lagi menandatangani sebarang perjanjian bagi watak ikonik itu, tetapi menunjukkan dia berfikiran positif mengenai Alien 5 di London.
“Saya amat gembira dengan Blomkamp kerana dia seperti kamu semua! Dia merosakkan pita filem ini ketika dia kecil kerana sering menontonnya. Saya suka apabila dia menjadikan impiannya sebagai kenyataan ketika kecil.
"Saya juga teruja apabila dia mahu menghasilkan filem Alien dari perspektif kanak-kanak,” katanya.

