Hajat Clooney, Amal mungkin tak sampai
Kerana mahu memastikan keselamatan terkawal pasangan suami isteri George Clooney dan Amal tegar mempertahankan kemahuan mereka walaupun dibantah pihak berkuasa tempatan (PBT).
Bagi pasangan selebriti itu, memasang kamera litar tertutup pada tiang tinggi di sekeliling rumah adalah hak mereka.
Majlis Perbandaran Reading Berkshire pula enggan membenarkan pasangan selebriti itu memasang kamera berkenaan kerana mendapat bantahan daripada penduduk Sonning Eye.
Mengikut perancangan asal, Clooney dan Amal mahu memasang 18 kamera di sekeliling rumah mewah mereka sebagai langkah keselamatan.
Pelakon filem Ocean's Eleven dan Amal - seorang peguam hak asasi manusia terkenal - membeli rumah agam berkenaan pada harga £10 juta (RM59 juta) tidak lama selepas mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri tahun lalu.
Keputusan tak lama lagi
Rumah itu dilengkapi sembilan bilik tidur dan sudah mendapat kebenaran PBT untuk dibina kolam renang baru serta kemudahan lain yang sering terdapat di kediaman selebriti Hollywood.
Apabila mereka membuat permohonan untuk memasang kamera berkenaan, PBT menolak.
Clooney, 54, dan Amal, 37, merancang untuk masuk ke rumah dibina pada abad ke-17 itu pada tahun ini sebaik saja proses ubah suai diselesaikan.
Setiap kamera yang ingin dipasang itu adalah jenis tahan lasak dan boleh digerakkan untuk menyorot pelbagai arah.
PBT bagaimanapun menolak selepas mempertimbangkan hujah penduduk setempat yang bimbang privasi mereka terancam.
Bagaimanapun, pegawai pemuliharaan Majlis Perbandaran South Oxfordshire berkata, mereka mungkin boleh memberi kelonggaran kepada Clooney jika kamera yang dipasang itu adalah daripada jenis mudah alih.
Keputusan muktamad mengenainya akan diketahui tidak lama lagi.

