Konflik berpanjangan di selatan Thai bukanlah sesuatu yang baru, tetapi menjadikan filem sebagai wadah bagi mengendurkan apa yang tegang di wilayah itu - ia sesuatu yang 'baru'.

Sekian banyak darah tumpah dan nyawa melayang. Kini sebuah filem datang membawa cinta sebagai cadangan jawapan.

Semuanya bermula apabila Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) - agensi keselamatan yang memantau situasi krisis di wilayah bersempadan dengan Malaysia - mencari jalan mempromosikan "persefahaman" dengan penduduk setempat.

Majoriti penduduk di selatan Thai ialah Melayu Islam.

Pegawai atasan ISOC berpendapat, filem boleh menjadi medium untuk mereka menunjukkan kepada seluruh negara, wilayah selatan Thai itu sebenarnya 'indah'.

Kemudian proses pembikinan pun bermula. Pengarah, penulis skrip dan sebagainya dicari. Antara penulis skrip yang tampil ialah Thanadol Nualsuth ( gambar ) yang pernah menghasilkan filem Rak Ao Yoo (Cinta Banjir Pertama) pada 2011.

Bantah sebelum setuju

Akhirnya ISOC memilih cerita memaparkan kisah seorang ahli perniagaan dari Bangkok yang ke Pattani lalu terpikat kepada seorang gadis Muslim.

Pengarah terpilih pula ialah Thanadol yang menghasilkan filem pertamanya pada 2010.

Namun ia tidak semudah dijangka. Berdepan dengan kerencaman budaya dan agama di selatan Thai, filem Latitude 6 itu memakan masa panjang untuk disiapkan.

Antara lain Thanadol perlu mendapatkan keyakinan dan kerjasama daripada pemimpin Muslim tempatan bahawa filem itu berniat baik dan tidak menyelindungkan sebarang motif lain.

Orang kampung juga membantah - sehinggalah mereka kemudian dilibatkan sebagai sebahagian daripada tenaga produksi filem berkenaan.

Pada bulan pertama banyak masa diluangkan bagi mendapatkan keizinan daripada pemimpin Muslim supaya penggambaran di dalam masjid dapat dijalankan.

Ia agak sukar walaupun Thanadol menunjukkan skrip Latitude 6 kepada mereka. Namun masalah itu selesai juga dan kebenaran diperolehi Thanadol.

Apabila penggambaran selesai Thanadol bersama pegawai ISOC dan pemimpin Muslim setempat duduk menyaksikan versi tanpa suntingan Latitude 6 - selama empat jam - bagi mendapatkan persetujuan mereka.

Hanya selepas itu versi sebenar Latitude 6 - selama kira-kira dua jam - disiapkan.

Filem itu ditaja UCI Media yang menjalankan perniagaan utamanya sebagai pengedar peralatan Motorola serta sistem kawalan keselamatan.

Dan filem itu dihasilkan tanpa menjadikan keuntungan sebagai sasaran.

"Jika pun ada keuntungan, ia akan disalurkan kepada pertubuhan kebajikan," kata jurucakapnya.