Hampir tiga tahun selepas pemergian Whitney Houston, anak perempuan kesayangannya Bobbi Brown mengikut jejak langkahnya semalam.

Anak perempuan penyanyi lagenda R&B itu itu disahkan menghembus nafas terakhirnya dikelilingi keluarga tersayang di Peachtree Christian Hospice di Duluth Georgia.

Bobby Brown baru berusia 22 tahun.

“Dia kembali kepada Tuhan. Kami mahu berterima kasih kepada semua kerana kasih sayang dan sokongan sepanjang beberapa bulan ini,” kata kenyataan dibuat keluarga Houston.

Bobbi ditemui tidak sedarkan diri dalam tab mandi di rumahnya dan dibawa ke hospital di Roswell Georgia.

Sejak itu Bobbi hidup hanya bergantung pada alat sokongan pernafasan hingga anggota keluarga membuat keputusan untuk menghentikan penggunaan mesin berkenaan.

Semakin meruncing

Dia kemudian diletakkan dalam keadaan koma di Hospital Universiti Emory Atlanta.

Hampir dua bulan kemudian dia dipindahkan ke sebuah pusat pemulihan dan kekal di situ hingga 24 Jun sebelun dipindahkan ke sebuah pusat jagaan rapi.

“Walaupun mendapat pelbagai kemudahan penjagaan perubatan, keadaan Bobbi dilaporan semakin meruncing. Kami berterima kasih untuk sokongan dan doa. Dia berada di samping tuhan sekarang,” kata Pat Houston, ibu saudara Bobbi.

Dilahirkan dalam keluarga selebriti, kehidupan glamour memang sentiasa menghimpit Bobbi sejak dia masih kecil.

“Dia membawa banyak kegembiraan kepada saya dan Brown. Ia perkara berbeza apabila kamu menjadi ibu. Ia mengubah seluruh perspektif dalam kehidupan. Kamu tidak hidup hanya untuk diri sendiri tetapi untuk anak,” kata Whitney kepada media Amerika Syarikat pada 1993.

Bobbi dilahirkan pada 4 Mac 1993 di Livingston New Jersey, dibayangi populariti Whitney dan bapanya, Bobby Brown.

Bapanya banyak menghasilkan lagu hit, manakala ibunya pula menjadi satu antara artis yang menikmati taraf penyanyi paling laris penjualan album sepanjang zaman.

Ketika usianya mencecah 10 tahun, dengan mudah Bobbi mendapat tawaran dalam rancangan realiti televisyen Bravo 2005 – Being Bobby Brown – yang mendedahkan kisah hitam keluarganya.

 

Pelbagai masalah rumahtangga Whitney dan Bobby mendorong pasangan itu bercerai pada 2006 dan hak penjagaan Bobbi diperoleh si ibu.

Whitney ditemui mati 2012 dalam tab mandian di rumahnya Hotel Hilton Beverly dan kematian itu memberi kesan teramat dalam kepada Bobbi kerana mereka berdua sering menghabiskan masa bersama.