Pelakon Friends dibayar RM3.8 juta satu episod
RM3.8 juta untuk satu episod. Bermakna gaji pelakon siri komedi Friends - yang meletup sejak 2002 dulu - membawa pulang habuan RM91.7 juta (AS$24 juta) bagi satu musim.
Walaupun pelakon siri popular itu bukanlah kelompok pertama mendapat ganjaran AS$1 juta untuk setiap episod yang dijayakan, pencetus bersama Friends, Marta Kauffman berpendapat bayaran itu tidak wajar.
"AS$1 juta untuk satu episod adalah mengarut," katanya kepada media.
Marta kini menjadi tulang belakang kepada siri Grace and Frankie berkata, sejujurnya jumlah bayaran berkenaan keterlaluan dan tidak realistik.
Sebelum itu wartawan bertanya kepada Marta mengenai tuntutan pelakon Friends yang banyak diperkatakan.
Media bertanya jika penghasilan filem atau drama melalui perkhidmatan Internet - seperti Netflix - memberi kesan kepada kuasa tawar-menawar dengan pelakon kerana jumlah penonton yang berbeza.
Kata Marta ( gambar ), keadaan adalah berbeza kerana rangkaian perkhidmatan kovensional tertakluk kepada rating dan pengiklan.
Melalui Netflix , katanya, mereka tidak terikat kepada stesen atau pengiklan.
"Apa yang kami buat ialah menghasilkan program yang kami mahu dan kami yakin," katanya.
Walaupun pendedahan Marta itu agak mengejutkan, ia bukanlah keterlaluan kerana Jerry Seinfeld sendiri menikmati bayaran AS$1 juta (RM3.8 juta) setiap episod sirinya pada 1997 lagi.
Berapa nilai wajah lucu
Tiga pelakon tambahan Seinfeld - Michael Richards, Julia Louis-Dreyfus dan Jason Alexander - pula menerima kenaikan bayaran 300 peratus, daripada AS$150,000 kepada AS$600,000 setiap episod pada musim terakhir siri berkenaan.
Pada 1999 pula bintang Home Improvement, Tim Allen dilaporkan menerima bayaran AS$1.25 juta bagi setiap episod pada musim terakhir siri itu.
Friends dibintangi Jennifer Aniston, Courteney Cox, Lisa Kudrow, Matt LeBlanc, Matthew Perry dan David Schwimmer.
Secara purata siri popular itu ditonton 25 juta orang setiap minggu.
Januari lalu LeBlanc yang membawa watak Joey memberitahu, mereka berhak mendapat imbuhan itu walaupun ada pihak yang menganggap sebaliknya.
"Bagaimana anda mahu meletakkan harga pada wajah lucu seseorang? Kami berada pada kedudukan yang sepatutnya mendapat bayaran begitu.
"Jika anda melakukan sesuatu kerja - apa saja kerja - dan berada di kedudukan berhak mendapat bayaran mahal tetapi anda menolak, anda seorang yang bodoh," katanya.

