Walaupun dinamakan "mustahil" namun misi diserahkan kepada Ethan Hunt dan pasukannya ternyata berjaya.

Mereka kini menduduki tempat teratas senarai filem box office di Amerika Syarikat (AS).

Pada tayangan semalam filem Mission: Impossible - Rouge Nation mengumpul AS$56 juta.

Ia adalah pungutan kedua terbaik untuk siri filem aksi itu selepas Mission: Impossible II yang mencatat kutipan tiket AS$57.8 juta pada tayangan hujung minggu di AS pada 2000.

Penganalisis berkata, kehadiran Tom Cruise adalah faktor utama menjadikan filem berkenaan mendapat sambutan hangat di seluruh dunia.

Siri terbaru filem itu dilaporkan menelan belanja AS$150 juta.

Berdasarkan sambutan diterima, pemerhati percaya penerbitnya tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan keuntungan terutama melalui perolehan dari luar negara.

Sementara itu filem terbitan Warner Bros, Vacation , agak perlahan mendapat perhatian peminat.

Dihasilkan dengan kos AS$30 juta, tayangan semalam menunjukkan hanya AS$14.9 juta dikumpul atau AS$21.2 juta sejak ditayangkan Rabu lalu.

Pengkritik kelihatan kurang bersimpati kepada filem komedi arahan John Frances Daley dan Jonathan Goldstein itu, manakala peminat kurang teruja dengannya.

Jurucakap penerbit berkata Vacation kurang memberangsangkan kerana perhatian orang ramai dibayangi kemunculan Mission: Impossible - Rouge Nation .

Berikut senarai 10 filem terlaris pada minggu ini:

  1. Mission: Impossible - Rogue Nation ( AS$56 juta, termasuk AS$65 juta di pasaran antarabangsa)
  2. Vacation (AS$14.9 juta)
  3. Ant-Man (AS$12.6 juta, AS$20 juta pasaran antarabangsa)
  4. Minions (AS$12.2 juta, AS$39.1 juta pasaran antarabangsa)
  5. Pixels (AS$10.4 juta, AS$19.8 juta pasaran antarabangsa)
  6. Trainwreck (AS$9.7 juta, AS$9 juta pasaran antarabangsa
  7. Southpaw (AS$7.5 juta, AS$3 juta pasaran antarabangsa)
  8. Paper Towns AS$4.6 juta, AS$6 juta pasaran antarabangsa)
  9. Inside Out (AS$4.5 juta, AS$17.8 juta pasaran antarabangsa)
  10. Jurassic World (AS$3.8 juta, AS$4.4 juta pasaran antarabangsa)