Love Is In The Air - Ia bukan sekadar judul lagu, tetapi menggambarkan secara majlis makan malam Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suami, Datuk Khalid Mohd Jiwa Sabtu lalu.

Sebabnya, mereka menikmati hidangan di set meja makan sambil tergantung lebih 45 meter di udara.

Mengakui tidak gayat Siti Nurhaliza berkata suaminya juga tidak bermasalah dengan ketinggian sebegitu.

"Datuk K (gelaran Khalid) suka cabaran," katanya.

Namun pada suatu ketika Siti Nurhaliza mungkin sedikit cuak apabila Khalid bergurau.

“Dia usik kerusi saya, dan dia pusingkan,” katanya ketawa.

Siti Nurhaliza berkata beliau memang sukakan cabaran.

Mula-mula, katanya, dia teragak-agak juga untuk memandang ke bawah tetapi lama-kelamaan beliau dapat membiasakan diri.

Dinner in the Sky Malaysia dibawa oleh 2spicy Entertainment mula beroperasi di Kuala Lumpur pada 2 Ogos lalu selepas menjelajah 40 bandar raya di seluruh dunia.

Sepanjang tempoh itu lebih 5,000 majlis makan malam diadakan.

Sayang suami tiada

Antara lokasi ikonik yang dilawati mereka ialah Las Vegas Strip, taman bunga Hotel King David, Marina Dubai, Villa Borghese di Rome, pantai Copocabana, Brazil dan pelabuhan Cape Town.

Restoran itu membawa pengalaman makan malam unik kepada tetamu menggunakan sebuah kren untuk menaikkan set meja kerusi dan kakitangan sehingga 45.72 meter di udara.

Majalah Forbes menobatkannya sebagai satu daripada 10 restoran paling luar biasa di dunia.

Sementara itu, model Amber Chia pula kesal kerana tidak dapat menikmati pengalaman mengagumkan itu bersama suaminya.

“Harap boleh kembali bawa orang tersayang dan ia pasti romantik, malangnya suami saya tiada di sini,” katanya.

Walaupun begitu, wanita kelahiran Teluk Intan itu amat berpuas hati dengan peluang yang ada.

Menurut pemenang model Guess Watches Timeless Beauty 2004 itu, ia pengalaman lebih daripada diharapkan, ditambah pula dapat menikmati makan malam sambil menyaksikan percikan bunga api.

“Ada kejutan bunga api dan saya suka apabila kerusinya boleh dibaringkan.

“Ia seolah baring dan berpusing di udara,” katanya.

Memang pada awalnya, Amber akui berasa takut, namun membuat keputusan untuk mencuba pengalaman yang menakjubkan itu.

Baginya, pengalaman itu hanya datang sekali seumur hidup dan ia tidak patut dilepaskan oleh sesiapa pun.

“Kamu harus mencubanya kerana ia tidak seperti roller coaster atau terjun lelabah, saya sukakannya.

“Kamu boleh lihat seluruh Kuala Lumpur," katanya.