Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Adegan cinta dalam filem, ulama marah menteri
Diterbitkan:  Aug 3, 2015 2:45 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Gesaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said supaya tapisan filem dilonggarkan mengundang reaksi tidak senang NGO Islam.

Beberapa kumpulan hari ini tampil menyatakan bantahan mereka, termasuk Persatuan Ulama Malaysia (PUM) dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).

PUM membangkitkan soal garis panduan hiburan dalam Islam yang diperakukan oleh muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada Februari lalu supaya tiada “nilai sejagat” dan ajaran agama dilanggar.

“Kami meminta jasa baik YB Datuk Seri memartabatkan perfileman negara tanpa menggadai prinsip Islam dan sewajarnya memartabatkan perfileman tersebut berteraskan maqasid (tujuan) syariah,” kata setiausaha agungnya Dr Mohd Roslam Mohd Nor.

Dalam kenyataannya hari ini, Roslam berkata sebarang usaha ke arah penggubalan polisi perfileman dan hiburan haruslah dilakukan dengan berhemah dan dengan penglibatan pihak yang bertanggungjawab.

Malah, Dr Mohd Roslan berkata PUM sebagai sebuah NGO Islam bersedia memberikan pandangan sekiranya diperlukan.

Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebelum ini menegur Lembaga Penapisan Filem (LPF) agar tidak berfikiran sempit.

Azalina berkata, isu seperti adegan cinta berpegangan tangan atau berpelukan tidak perlu diperbesar memandangkan ia sekadar lakonan yang tidak mengundang maksiat terhadap penonton.

IKRAM: Tak wajar bagi menteri Islam

Sementara itu, Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) pula menyifatkan kenyataan itu tidak wajar dikeluarkan oleh menteri yang baru dilantik menyertai kabinet Selasa lepas.

"Sekiranya laporan ini benar, adalah tidak wajar bagi seorang menteri beragama Islam yang telah diberikan amanah kepimpinan dan bakal menjadi teladan kepada rakyat di negara ini untuk membuat komen sedemikian," katanya Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Umat IKRAM Abdul Aziz Abd Jalal.

IKRAM juga berharap beberapa peraturan yang telah diperkenalkan oleh LPF, merujuk kepada panduan penapisan terhadap elemen seks, lucah dan sumbang perlu dipertahan, malah ditambah baik.

Lihat Komen
ADS