Malangnya usia perkahwinan yang diharapkan berpanjangan tidak menjadi. Penyanyi Gwen Stefani dan Gavin Rossdale  membuat keputusan menamatkan perkahwinan mereka selepas 13 tahun.

 

Perpisahan berkenaan didedahkan semalam selepas vokalis No Doubt itu memfailkan perceraian.

 

Jurucakap Mahkamah Tinggi Los Angeles mengesahkan kenyataan itu kepada Us Weekly .

 

Walaupun bercerai dengan alasan tidak sefahaman, namun mereka bersepakat untuk mendapatkan hak penjagaan bersama bagi tiga anak lelaki Kingston, 9, Zuma, 6, dan Apollo 17 bulan.

 

Rossdale - bekas vokalis band Bush - diwakili peguam Laura Wasser manakala Gwen diwakili Scott Weston.

Jurulatih program realiti televisyen The Voice itu pernah membayangkan perkahwinan mereka menghadapi masalah.

“Kami melalui terlalu banyak perkara bersama. Satu keajaiban kami dapat bertahan lama begini.

“Rossdale sedang melakukan konsert jelajah sekarang, dan dia menulis nota paling romantik pada saya semalam.

“Bagus apabila ada hari yang kamu berdua boleh buat hal kamu sendiri. Saya rasa itu yang membuat sesuatu hubungan kekal lama - apabila dua orang boleh menjadi diri sendiri dan miliki individualiti. Ia amat penting untuk wanita. Memang sukar untuk menikmati masa untuk diri sendiri,” kata Gwen kepada wartawan majalah Cosmopolitan edisi Mac lalu.

Pada masa sama Gwen, 45, menyatakan sebab dia menyukai Rossdale, 49.

“Saya fikir dia agak kacak. Ia bukanlah perkara paling penting mengenainya, tetapi dia benar-benar membantu menghasilkan bayi yang comel!” katanya.