Penceramah bebas dan bekas penyanyi rock Akhil Hayy Rawa mengajak orang ramai menyertainya melancong ke Indonesia sambil membantu anak yatim di negara itu.
Program yang mempunyai keunikan tersendiri itu menawarkan pengalaman percutian sambil melaksanakan tanggungjawab di daerah Malang, Surabaya.
Mengakui ia sesuatu yang baru baginya, Akhil berkata, kembara itu bukan sekadar perjalanan bermusafir seperti yang pernah dilakukannya suatu ketika dulu.
“Dulu saya pernah menyertai kembara umrah Sufi bersama Mawi dan Ekin, tetapi perjaanan kali ini berbeza.
“Kita bukan pergi nak pulun ibadah semata-mata, tetapi kita nak tahu di sebalik Malang itu ada panti asuhan,” katanya.
Akhil Hayy ditemui dalam majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik antara Honey Vacation Travel and Tours Sdn Bhd dan NasyidFM Media Network bagi menganjurkan program Mega Ziara Siri 1 di Damansara Perdana, Petaling Jaya semalam.
Di samping berlibur, Akhil bersama Honey Vacation berjanji menyumbangkan RM20 daripada setiap hasil jualan pakej mereka kepada rumah kebajikan terpilih dalam inisiatif dikenali sebagai Kami Prihatin.
Kata Akhil, dia memang selalu dijemput menyertai program ziarah umrah.
Tua, muda boleh saja
“Tetapi kali ini saya dijemput untuk berkolaberasi dengan Honey Vacation dan NasyidFM untuk mengembara ke bumi Indonesia di bahagian Jawa Timur,” katanya.
Pakej empat hari tiga malam itu ditawarkan pada harga RM1,999 seorang itu untuk kunjungan antara 28 November hingga 1 Disember 2015.
Kunjungan itu akan dirakamkan dan disiarkan menerusi stesen televisyen Al Hijrah.
Antara lokasi menarik dilawati ialah Muzium Angkut, Batu Night Spectacular, Kota Wisata Batu dan Zoo Batu Secret.
Peserta juga berpeluang melalui pengalaman memetik buah epal di sebuah ladang di sana.
Walaupun sasaran utama program adalah golongan berusia 45 tahun ke atas, namun peluang tetap dibuka kepada peserta lebih muda.
Tempahan secara atas talian sudah dibuka sekarang.
Menurut Akhil, apa yang menjadikan percutian itu berbeza adalah pengisian rohani kepada peserta di sepanjang perjalanan itu.
