Alasan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini turut mendapat perhatian penggiat seni tanah air.

Terbaru, pelakon dan pengarah Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan mengatakan langkah itu bukan tindakan bijak.

Beliau juga menolak alasan “rakyat malas” untuk mewajarkan tindakan itu.

"Apatah lagi setelah mereka (rakyat) yang dipersalahkan itu telah diperah dengan cukai yang membebankan.

"Meningkatkan taraf hidup rakyat dengan tingkatkan pendapatan boleh selesaikan masalah kekurangan pekerja di sektor berkenaan.

"Bukannya membawa masuk buruh murah dengan jadikan alasan rakyat malas," katanya melalui tulisan bertajuk "Surat rakyat malas untuk menteri", semalam.

Tulisan itu dimuat naik di Facebook beliau itu susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum itu.

Zahid dilaporkan berkata, kerajaan terpaksa membawa masuk pekerja asing termasuk dari Bangladesh kerana sikap rakyat Malaysia yang tidak berminat bekerja dalam sektor '3D' - dangerous, difficult dan dirty (bahaya, sukar dan kotor).

Menurut beliau, kira-kira 1.5 juta pekerja asing akan dibawa masuk secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun bagi memenuhi permintaan pelbagai sektor terutama perladangan, pembinaan, perkilangan dan perkhidmatan.