Emirates, Jennifer kawan dalam perniagaan
Syarikat penerbangan Emirates mengesahkan pelakon Jennifer Aniston diambil menjadi duta dalam usaha menarik pengguna seluruh dunia menggunakan perkhidmatan mereka.
Kenyataan itu dibuat Timbalan Presiden Kanan Komunikasi Korporat, Jenama dan Pemasaran Emirate, Boutros Boutros menerusi e-mel kepada agensi berita Emirates 24/7 .
“Kami mengesahkan kerjasama dengan Jennifer Aniston untuk kempen iklan televisyen dan digital peringkat global,” katanya.
Bagaimanapun, syarikat pernebangan itu tidak mahu mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai perjanjian berkenaan.
“Kami tidak mahu membincangkan butiran kontrak dan informasi kempen akan diberitahu dalam masa terdekat,” kata Boutros.
Bekas bintang siri rancangan popular Friends itu didakwa menerima tawaran lumayan bernilai kira-kira AS$5 juta (RM19.6 juta).
Jennifer mengikut jejak langkah bintang sukan bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo yang sebelum ini menjadi duta syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai itu.
Selain Jennifer, bintang Hollywod Nicole Kidman juga pernah menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan, iaitu Etihad Airways Abu Dhabi pada Mac lalu.
Pengumuman itu dilihat satu lagi perkhabaran baik buat Jennifer yang baru melangsungkan perkahwinan mengejut dengan pelakon serta penulis skrip Justin Theroux .
Pasangan itu melangsungkan perkahwinan di rumah agam mereka di Bel Air, Los Angeles 5 Ogos lalu.

