Selepas menanti selama 18 tahun, Nassier Wahab akhirnya muncul dalam penampilan keistimewaan melalui sebuah album keagamaan berjudul Lukisan Cinta .
Dalam menempuh tempoh panjang untuk mengeluarkan album itu, Nassier berkata, hasratnya itu sudah lama dibiarkan terpendam namun bersyukur kerana Lukisan Cinta membawa kelainan berbanding lagunya sebelum ini.
“Saya rasa bangga dan berpuas hati kerana ia hasrat yang lama terpendam untuk melihat sebuah album solo ketuhanan.
“Sebagai anak seni, tidak lengkap sekiranya tidak ada koleksi lagu ketuhanan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.
Menurut penyanyi berasal dari Kedah itu, salah satu lagu dalam album berkenaan dirasakan lebih istimewa kerana menceritakan pengalamannya di tanah suci.
Kata penyanyi berusia 53 tahun itu, selepas solat Subuh di Masjidil Haram, memohon kepada Allah supaya menyematkan gambaran keindahan Kaabah dalam hatinya.
Sebulan dua selepas pulang, penyanyi yang popular dengan lagu Sekali Aku Jatuh Cinta itu menerima panggilan telefon dari sebuah studio rakaman di Jakarta, Indonesia yang memintanya merakamkan lagu Lukisan Cinta dan Air Mata dan Doa.
"Hati saya tersentuh dan sebak sebaik membaca lirik Lukisan Cinta kerana ia seolah-olah menyamai gambaran tersemat dalam hati mengenai Kaabah," katanya.
Paling membekas di jiwa Nassier ialah lirik "melihat cinta dan terpampang bagai lukisan".
Album Lukisan Cinta mengandungi 12 buah lagu – sembilan nyanyian semula dan tiga lagu baru ( Lukisan Cinta, Air Mata dan Doa dan Jangan Pernah Ada Benci ).
Mengenai nyanyian semula dalam album berkenaan, Nassier berkata, lagu sudah diberi nafas baru itu diyakini dapat menambat hati pendengar.
Kenyataan itu merujuk kepada lagu Ya Ilahi Rabbi yang pernah dinyanyikan Rafeah Buang dan Permaidani (Aris Ariwatan).
Album Lukisan Cinta diterbitkan oleh Datuk Seri Raja Rezza Shah, disusun Azman Abu Hassan dan diterbitkan dengan kerjasama Nusantara Germs Sdn Bhd dan Nassier Wahab Production.
