Ayu mendadak popular
Berusia baru 10 tahun tapi memiliki jari yang lincah untuk bermain gitar elektrik.
Dia ialah Ayu Guzfans yang tiba-tiba menjadi bintang baru di media sosial, terutama di Indonesia.
Kelebihan Ayu ialah kemahirannya memetik gitar mengiringi lagu band metal Britain seperti DragonForce.
Melalui klip video dimuat naik di YouTube , aksi Ayu menarik perhatian ketika memainkan lagi Through the Fire and Flames nyanyian asal DragonForce.
Tidak hanya dikagumi orang Indonesia, peminat dari luar negara juga banyak memuji Ayu dan mengaku seolah-olah tidak mempercayai budak sekecil itu memiliki kemahiran yang tinggi.
Seorang daripada mereka ialah David Escamilla yang bertanya: "Kamu berbakat besar. Siapa idola kamu? Salam mesra daro Sepanyol".
S Hogan pula menulis: "Terus asah bakatmu. Aku kini berumur 68 tahun dan masih berharap mampu memetik gitar seperti kamu. Oh ya, aku juga sangat sukakan gitar kamu. Sangat cantik".
Tanpa banyak maklumat mengenainya, Ayu diketahui sudah dua tahun belajar bermain gitar.
Semakan terhadap akaun Facebook bapanya, mereka dipercayai berasal dari Bondowoso, Jawa Timur dan kini tinggal di Denpasar, Bali.
DragonForce adalah band metal berasal dari London dan ditubuhkan pada 1999. Kumpulan itu dikenang kerana lagu mereka diwarnai petikan gitar solo yang panjang, lirik berfantasi dan bunyi-bunyian elektronik.
Sehingga Ogos tahun lalu band itu sudah menghasilkan enam album rakaman studio dan satu album live .

